Dewan Ulamak nafi perkara tersebut - Dr Rani

NAZIRAH NASRUN | .

SUNGAI BESAR: "Saya pergi ke makan malam itu atas jemputan beberapa pimpinan PKR sendiri. Apa salahnya kalau saya ke situ?

"Ini kerana majlis tersebut adalah untuk menyantuni calon. Saya tidak pula disuruh keluar malah disambut dengan baik. Ucapan di majlis tersebut juga cukup baik dan turut mendoakan kejayaan saya dan sebagainya.

"Saya pergi sebagai Adun Meru, jikalau ada spekulasi mengatakan saya hendak masuk Amanah, saya minta maaflah. Saya tidak akan masuk kerana saya akan istiqamah terus dalam PAS," ujar calon PAS pada PRK Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan spekulasi tersebut disebarkan untuk memancing undi dalam PRK Sungai Besar kelak.

Ini kerana menurutnya, kehadiran beliau kelihatan tidak disenangi oleh pihak PAN yang turut berada di majlis tersebut.

"Namun saya tetap bersikap profesional, duduk semeja dan berbual dengan Naib Presiden PKR Nurul Izzah biarpun ada pihak yang tidak menyenangi kehadiran saya di situ lalu segera beredar.

"Saya tiada masalah dengan sesiapa namun jika bertanding, kita betul-betul bertanding. Semasa pengundian awal, saya sempat bertegur sapa dengan calon BN Budiman Mohd Zohdi. Islam mengajar kita politik matang tetapi kalau sampai pilihan raya, kita lawan tetap lawan.

"Ada juga spekukasi mengatakan Dewan Ulamak PAS menghentam saya, itu semua tidak betul. Alhamdulillah Dewan Ulamak dengan serta-merta menafikan perkara tersebut.

"Hari ini pulak dikatakan Lim Kit Siang ajak saya masuk Amanah. Saya sendiri tertanya-tanya, kenapa pula hendak ajak saya masuk? Benda-benda ini semua pelik. Pada saya tidak, saya terus dengan PAS dan akan berjuang sehingga akhir hayat saya," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace