Dr Rani hadir majlis berbuka rai Menteri Besar

NAZIRAH NASRUN | .

SUNGAI BESAR: Ditanya tentang tindakan berkaitan insiden kehadiran calon PAS ke majlis iftar Pakatan Harapan semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Dr Abdul Rani Osman.

Beliau berharap agar orang ramai tidak percaya kepada berita yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp semalam mengatakan kononnya Dewan Ulamak PAS telah mengecam tindakan tersebut.

"Oleh kerana yang hadir itu adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, saya melihat bahawa tidak ada masalah berlaku. Dr Abdul Rani hadir sebagai calon dan juga Adun Meru; sama-sama untuk meraikan Menteri Besar.

"Ini adalah satu politik baharu yang dibawa oleh PAS. Kita telah berbincang sebelum itu dan berasakan bahawa calon kita patut pergi," ujar Iskandar ketika sesi sidang media di Markaz PAS Induk Simpang 5, Sungai Besar hari ini.

Ini adalah sebahagian daripada politik matang dan sejahtera yang di bawa oleh PAS, katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jika dilihat semula semalam, Menteri Besar telah hadir tanpa memakai baju parti.

"Azmin berbaju putih dan berkain pelikat hijau semalam," kata Iskandar yang kemudiannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi terutamanya para penyokong PAS supaya tetap mengundi PAS, bukan Barisan Nasional.

"Hal ini kerana saya melihat bahawa ini adalah tindakan terdesak mereka yang terpaksa mengeksploitasi isu ini, mungkin kerana mereka tiada isu lagi untuk diputarbelitkan," seru beliau. - HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace