Bekas ketua pemuda Umno sertai PAS di Sungai Besar

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

SUNGAI BESAR: Bekas Ketua Pemuda Umno cawangan Muara Sungai Limau, Sungai Besar hari ini telah menyerahkan  borang penyertaan keahlian PAS semasa sesi sidang media bersama calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

Rosli Senin, 49, ketika ditemui media berkata, beliau adalah antara ahli Umno yang sudah lama menyokong PAS cuma tidak ingin menonjolkan diri.

"Di bulan yang baik ini, pada hari ini saya memilih bulan Ramadhan untuk berubah iaitu masuk PAS," ujarnya.

Katanya, penyertaan beliau untuk masuk PAS tidak dipaksa oleh sesiapa sebaliknya telah lama terpikat dengan perjuangan yang dibawakan PAS selama ini iaitu dasar Islam yang sebenar.

"Sebenarnya keyakinan kita terhadap perjuangan PAS ini sudah lama cuma dalam kalangan para sahabat semua tidak mahu menonjolkan diri sangat.

"Apa yang berlaku pada pilihan raya sebelum ini pun, kebanyakan pemuda Umno ada yang menyokong PAS kerana ada Islam yang sebenar pada PAS," ujarnya lagi.

Beliau yang sudah 24 tahun bersama parti korup Umno BN menjelaskan kemasukannya ke dalam PAS tidak dibayar oleh mana-mana pihak, sebaliknya keinginan yang tinggi terhadap perjuangan PAS yang memaksa beliau meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi semasa bersama Umno.

Ujarnya, beliau tidak berasa kesal dengan pilihan yang telah dilakukan kerana padanya Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berasa kesal bahkan setiap masa ia memerlukan ketakwaan.

"Perkara yang lepas itu kita boleh ubah dan perbaiki dan saya akui  setakat ini ramai lagi pemuda Umno, yang ingin mengikuti. Semuanya atas kehendak Allah," katanya lagi.

Selain beliau, tiga lagi pemuda Umno turut hadir pada hari ini untuk menyerahkan borang penyertaan keahlian Umno yang telah diterima oleh Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Iskandar Samad, disaksikan oleh calon PAS PRK Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman, Yang Dipertua PAS Sungai Besar, Ustaz Mohd Haslin Hassan serta beberapa lagi ahli jawatankuasa PAS Sungai Besar. - HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace