Luka Umno di Kuala Kangsar berdarah lagi

ASLANI M | .

HANYA dua hari lagi penentu parti-parti Melayu yang bertarung di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dua parti berakar sejak sebelum merdeka dan sebuah lagi belum mencapai usia setahun jagung.

Kalau kayu ukur pengalaman diambil kira, parti baharu seperti awal-awal lagi berada di luar radar perlawanan. Regu sebenar di pentas kelihatan PAS dan BN. PAN baharu dan staminanya belum lasak.

Di saat DAP bermati-matian menjulang PAN bagi mengukuh cengkaman di Sungai Besar, tiba-tiba Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali pula mendoakan untuk Dr Rani Osman.

Biarpun kata orang Terengganu ‘berat nanang’ namun Menteri Besar Selangor itu sudah lama mengenali calon PAS.

Adun Meru tersebut menjadi rakan Azmin di Dun Selangor sejak 2008. Berbeza dengan Ustaz Azhar Ab Shukur, biar pun anak tempatan namun khabarnya bermestautin di Temerloh.

Malah dakwaan itu bukan lagi was-was. PAN Sungai Besar sendiri mendakwa calon itu menetap di Pahang.

“PAN meletakkan calon yang kami sifatkan ‘Touch N Go’ kerana tak bermestautin di sini dan bukan dikira anak tempatan kerana menetap di Pahang,” kata bekas Timbalan Ketua penaja PAN Sungai Besar, Mohd Sapigni Tulus.

Lebih ngilu lagi apabila Sapigni dan PAN Sungai Besar menolak Azhar. Dakwa mereka calon PAN memiliki ciri-ciri bongkak, angkuh dan sombong.

“Sejak merampas kepimpinan PAN Sungai Besar secara kotor, semua pemimpin yang menghidupkan parti tersebut disingkirkan,” katanya seperti dilapor media.

Berikutan itu 32 ahli penaja PAN Sungai Besar menolak Azhar. Isyarat itu begitu mengaibkan ketika PAN mengharap hayatnya bersisa lagi.

Penduduk tempatan memberitahu kempen PAN hanya digerak DAP. Tanpa DAP maka tiada PAN di PRK Sungai Besar.

DAP menahkodakan semua gerak kempen. Sehinggakan kemunculan iklan yang bersifat perkauman tidak disedari PAN. Ketua Penerangan PAN Abdul Khalid Samad mengakui papan iklan itu tidak disedari pihaknya.

Papan iklan kempen bermesej perkauman dipasang bagi menempelak BN dan PAS di Sekinchan. Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengakui papan iklan tersebut didirikan parti terbabit.

Di saat PAN mengharap ihsan pengundi Melayu tiba-tiba Adun DAP Sekinchan, Ng Sue Lim dikatakan merancang meraikan kemenangan PAN dengan minum arak.

Biar pun mesej itu disampaikan kepada orang bukan Islam, namun pengundi Melayu menguasai 67 peratus majoriti di Sungai Besar.

Ketika calon Pakatan semakin hilang harapan, sebuah akhbar pula mencongak BN bakal juara di Sungai Besar. Diberinya score majoriti 1,200 undi.

Namun bagi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Dr Wan Nik Wan Yussof isu harga padi dan getah boleh diterjemahkan petani Cina dan Melayu bagi menolak calon BN.

Begitu juga isu jeti pendaratan ikan di Sekichan dikenakan bayaran boleh mencacat imej kerajaan Selangor. Ia juga mungkin diterjemahkan PRK kali ini.

Bayaran dikenakan membebankan nelayan. Ia boleh memberi kesan kepada Pakatan Harapan. Ini kerana Azmin dan PKR tanpa berselindung menyokong calon PAN.

“Di tengah-tengah kemelut PAN dan BN, peluang PAS makin terbuka. Ditambah pula jasa dan khidmat Dr Rani di Meru disenangi rakyat,” katanya.

Kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mahfodz Mohamad, calon itu diangkat PAS Sungai Besar sebelum dipersetujui Majlis Syura Ulamak.

Umno bergolak di Kuala Kangsar

Kalau di Sungai Besar pemberontakan berlaku membabitkan PAN, di Kuala Kangsar isu serupa mengocak rumah tangga Umno.

Seperti kata bekas Ketua Umno Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari beliau tak merajuk cuma terkilan.

Dilaporkan media dia terkilan dengan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang bersikap dingin terhadapnya.

Ujarnya, ketika majlis bacaan tahlil Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad beliau diminta beredar oleh keluarga Mastura.

“Saya terkejut sebab Datin Mastura jadi calon,” katanya dipetik sebuah media.

Tanpa berselindung pernah berlaku pertembungan dengan Wan Mohammad Khair-il Anuar ketika pemilihan Ketua Umno Kuala Kangsar.

Protes serupa juga didengari di sayap Wanita dan Pemuda Umno serta bahagian. Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail pernah mengugut mahu bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar.

Beliau kecewa tindakan BN menurunkan isteri arawah. Datin Mastura berasal dari Negeri Sembilan.

“Saya amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal meletakkan calon anak tempatan yang jauh layak,” ujarnya.

Retak rumah tangga Umno di Kuala Kangsar tidak mampu disembunyikan lagi. Nasib menimpa Umno Kuala Kangar mengulangi apa yang menimpa PAN di Sungai Besar.

Biar pun tidak dilapor meluas media perdana, namun dendam segenap sayap Umno tidak berakhir di situ. Biar pun ditutup mulut dengan projek dan wang ringgit, namun luka lama akan muncul lagi Sabtu ini.

Janji jambatan Manong bernilai RM43.5 juta seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak tidak mampu mengubat hati yang kecewa. Janji projek jambatan sentiasa muncul di musim pilihan raya.

Janji jambatan disebut Tan Sri Rafidah Aziz sejak berpuluh tahun lalu.  

PAN pula tampil dengan lima agenda di Kuala Kangsar. Calonnya Dr Ahmad Termizi Ramli ketika mengumumkan manifesto Suara Wakil Kuale mendesak kerajaan membina plaza tol.

Seperti dilapor sebuah akhbar plaza tol untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Manong serta merancakkan pembangunan. Agak aneh bunyinya.

Belum pun Dr Termizi pergi jauh, adiknya Dzorif Ramli yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar berada di pentas yang berbeza.

Sekarang pilihan akhir buat pengundi iaitu Dr Najihatussalehan Ahmad. Dr Kak Jiha menawarkan 10 agenda demi kesejahteraan rakyat Kuala Kangsar.

Kalau di Sungai Besar peluang PAS makin melebar, di Kuala Kangsar pula PAS tambah dekat di hati pengundi.

“Penguasaan jentera kempen PAS di bulan Ramadan semakin meninggalkan Umno dan PAN di belakang,” ujar Dr Wan Nik. - HARAKAHDAILY 15/6/2016

Share on Myspace