Nelayan Sungai Besar perlu pembelaan sewajarnya

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

SUNGAI BESAR: Kemelut yang melanda nelayan kecil di Parlimen Sungai Besar tidak akan selesai sehingga kerajaan Persekutuan memperkasakan penguatkuasaannya melalui agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), demikian kata Exco Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib

Jelas beliau selepas sesi sidang media bersama calon PAS, PRK P093 Sungai Besar, Dr Abdul Rani turut berkata, pendapatan nelayan-nelayan kecil tradisional di Sungai Besar terjejas kerana kerajaan gagal mengawal kemasukan bot-bot penunda ke kawasan perairan zon A sehingga memaksa segelintir nelayan tradisional ini mengambil inisiatif lain dengan melakukan kesalahan seperti memotong tali pukat tunda bot besar yang menyebabkan nelayan kecil ini ditangkap dan direman.

Ujarnya, zon A adalah dikhususkan untuk nelayan yang memiliki sampan sahaja manakala zon B dan C adalah terbuka untuk nelayan yang mempunyai bot-bot besar serta lengkap dengan pelbagai alatan yang berat dan besar.

"Nelayan di zon B  dan C ini, mereka masuk ke kawasan A dan pukat tunda ini dia rapat sampai ke pasir dan tangkap habis ikan-ikan besar dan kecil sehingga menyebabkan nelayan-nelayan tradisional kita ini terjejas pendapatannya," katanya.

Beliau yang telah turun ke perkampungan nelayan untuk menyelidiki isu berbangkit nelayan berkata para nelayan kecil yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu meminta agar kerajaan boleh membantu mereka dengan mengawal kemasukan bot-bot penunda ke zon A bagi membenarkan mereka mencari rezeki.

"Sepatutnya APMM kena ambil tindakan. Sebab itu kita lihat kerajaan Umno-BN tidak betul-betul mengambil berat tentang permasalahan nelayan ini

Sekarang ini apa yang boleh kita buat ialah, kita hanya boleh bagi bantuan-bantuan peralatan, seperti bot, sampan, jaket dan pukat. Itu sahaja. Yang lebih penting ialah hasil itu. Kalau kita beri semua sekalipun kalau ikan tidak ada, tak juga selesaikan masalah," katanya kepada Harakah selepas sidang media bersama calon PAS, PRK P093, Sungai Besar bertempat di Markas PAS Induk, Simpang Lima, Sungai Besar. – HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace