Muktamar PAS arah sedia kertas dasar negara Islam

HARAKAHDAILY | .

MUKTAMAR PAS ARAH SEDIAKAN BLUE PRINT NEGARA ISLAM (16 JUN 1996)

PADA hari ini dalam tahun 1996, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-42 di Taman Melawar telah memutuskan supaya PAS menyediakan sebuah kertas dasar (blue print) tentang negara Islam yang akan dilaksanakan oleh PAS.

PAS Pusat dalam resolusi muktamar ini diminta supaya menjelas dan menghuraikan dasar-dasar negera berasaskan Islam, termasuk kaedah perlaksanaan undang-undang Islam yang akan dilaksanakan oleh PAS setelah PAS memerintah nanti.

Pendirian PAS ini adalah lanjutan daripada Ucapan Dasar Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor pada 14 Jun 1996 yang bartajuk "Tegakkan Ketuanan Islam".

Persoalan menegakkan negara Islam yang melaksanakan hukum syariat mulai dirasakan oleh PAS setelah kerjasama politik yang dibentuk bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) mulai terjejas ekoran pengumuman Tengku Razaliegh Hamzah pada 13 April 1996 bahawa PMS46 akan kembali kepada Umno.

PAS mengahadapi masalah kegagalan Kelantan melaksanakam hukum syariat kerana konflik dengan PMS46 dan ketiadaan kerjasama Kerajaan Pusat setelah enam tahun PAS menguasai Kelantan. Walaupun PAS telah berjaya menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi pelaksanaannya masih belum berjaya.

Ekoran isu penyatuan politik Melayu yang digembar-gemburkan oleh PMS46 untuk menjustifikasikan penyertaan semula mereka dalam Umno, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menekankan supaya orang Melayu meninggalkan konsep ketuanan Melayu dan menerima konsep ketuanan Islam.

Melalui ketuanan Islam, yakni Islam memerintah negara, bukan sahaja Islam dapat mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu juga akan menikmati keadilan Islam. Sedangkan selama ini pemerintahan Melayu Umno telah menyebabkan kedudukan Islam telah merosot dengan teruk. Bagi merungkai masalah ini, PAS mahu supaya ketuanan Islam ditegakkan sebagai satu kuasa pemerintahan di Malaysia.

Bertolak dari Ucapan Dasar Presiden PAS ini dan juga pengalaman PAS mentadbir Kelantan selama enam tahun, Muktamar PAS melihat kelemahan yang timbul kerana PAS tidak mempunyai blue print yang jelas tentang negara Islam.

PAS perlu menyatakan pendirian PAS tentang dasar-dasar negara Islam dalam semua aspek dan kaedah pelaksanaan dasar-dasar tersebut sehingga rakyat memahami konsep negara Islam yang dibawa oleh PAS.

Sebelum ini, PAS hanya menyebut dalam manifestonya untuk melaksanakan pemerintahan Islam, pelaksanaan hukum Islam, mewujudkan kehakiman Islam dan seumpamanya. Tetapi setelah PAS memerintah Kelantan, barulah perancangan dasar untuk melaksanakan pemerintahan Islam dibuat, yang menyebabkan PAS menghadapi banyak halangan dan dituduh berpolitik terhadap pelaksanaan syariat.

Untuk mengelakkan hal yang sama selepas PAS menguasai negara ini, maka Muktamar PAS Kali Ke-42 pada 14-16 Jun 1996 ini memutuskan supaya PAS menyediakan dahulu blue print negara Islam tersebut.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace