PAS ada peluang menang di Kuala Kangsar, Sungai Besar

HARAKAHDAILY | .

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) meletakkan harapan untuk PAS menang dalam Pilihan raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Peluang untuk PAS menang adalah berdasarkan kepada rasa ketidakpuasan hati yang tinggi di kalangan pengundi terutama pengundi-pengundi Melayu.

Cabaran yang ada kepada jentera pilihan raya PAS dalam dua hari terakhir ini adalah mendorong pengundi untuk menterjemahkan rasa ketidakpuasan hati mereka dalam bentuk undi protes di atas kertas undi.

Di Kuala Kangsar, pasukan penyelidikan PAS Perak telah menjalankan satu kajian persepsi politik sebelum hari penamaan calon, termasuk tentang tahap kepuasanhati pengundi kepada kerajaan.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan tahap ketidakpuasanhati terhadap pelaksanaan GST adalah tinggi, iaitu 59% dan hanya 22.3% bersetuju. Demikian juga 83.5% responden di Kuala Kangsar tidak berpuas hati dengan langkah-langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan harga barang dan kos hidup.

Selain daripada dapatan itu, sesuatu yang agak menarik dalam kajian ini, mendapati populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berada di bawah paras 50% iaitu 44.2%. Lebih menarik lagi, peratusan responden Melayu di Kuala Kangsar yang berpuas hati dengan Perdana Menteri adalah lebih rendah iaitu hanya 38.7%. Dapatan di Kuala Kangsar ini menunjukkan sudah ada faktor menolak yang tinggi terhadap Barisan Nasional (BN) dalam PRK kali ini.

Manakala di Sungai Besar, seperti yang didedahkan dalam kajian yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) semalam, rasa ketidakpuasanhati juga adalah tinggi terutama di kalangan golongan muda antara 21 hingga 40 tahun.

IDE melaporkan semalam, 47.4% responden di Sungai Besar tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri yang mendorong mereka tidak mengundi BN. Dilaporkan juga 44.7% tidak bersetuju dengan pendekatan BR1M dalam mengatasi kenaikan kos hidup, justeru mereka menolak BN.

Pasukan penyelidikan PAS Selangor juga telah menjalankan kajian persepsi pengundi sebaik sahaja selepas penamaan calon lalu. Kajian yang dilakukan itu, secara langsung untuk menentukan parti mana yang akan diundi oleh pengundi dalam PRK kelak.

Bagaimanapun, dapatan kajian tersebut menunjukkan, ketidakpuasanhati rakyat di Sungai Besar masih belum mendorong pengundi melakukan protes di atas kertas undi. Kajian itu mendapati BN masih memperolehi majoriti tipis di Sungai Besar disebabkan ayunan (swing) pengundi Cina kembali kepada BN.

Berdasarkan kepada dapatan-dapatan kajian di atas, PPP berkeyakinan PAS mempunyai harapan untuk menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar disebabkan rasa ketidakpuasan hati kepada kerajaan dan Perdana Menteri adalah tinggi terutama di kalangan kaum Melayu.

Sekiranya, rasa tidak berpuas hati ini dapat dikekalkan seterusnya diterjemahkan sebagai undi protes di atas kertas undi, PAS ada harapan memenangi kedua-dua kerusi. Jentera PAS dalam tempoh dua hari terakhir ini perlu berusaha mewujudkan gelombang protes itu.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
16 Jun 2016 / 11 Ramadan 1437 - HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace