Kalimah benar namun bila diucapkan bertujuan batil

AHMAD HAKIMI OTHMAN | .

 

Sering kali dalam hidup politik ini, politikus sering mencari peluang menyalahkan kata-kata yang benar. Lebih malang, ramai dari kalangan yang ikhlas tertipu dan dihiasi dengan rantaian hiasan untuk menipu penipuan dan kesalahan yang dilakukan.

Dulu, kita mendengar politik budiman. Ungkapan yang sedap dan menawan, tetapi penggunaaannya untuk menutup langkah-langkah sumbang yang mengkhianati mesyuarat dan kepimpinan yang beriman.

Sememangnya, umat hari ini jauh berbeza dari umat generasi didikan Nabi SAW. Umat yang dijanjikan redha Allah dan kemenangan darinya. Namun pertembungan yang berlaku di zaman awal boleh jadi panduan kita hari ini. Ketika peperangan Siffin, tentera Saidina Muawiyah hampir tewas kepada pasukan Saidina Ali. Maka, telah mencadangkan Amr bin Al-As untuk mengangkat Quran yang dilumuri darah Saidina Uthman dan melaung untuk merujuk kepada Quran. Maka sebahagian pasukan Saidina Ali pun kendur dan merayu kepada Saidina Ali untuk berhenti. Lantas ketika inilah kata kata saidina Ali terungkap:

كلمة الحق يريدبها الباطل

"Kalimah yang benar, namun yang diinginkan dengannya adalah bathil (muslihat)."

Kata-kata Saidina Ali menggambarkan seorang yang amat cerdas dan faham suasana sebenar pertembungan. Namun, oleh kerana yang bertempur sesama yang beriman, beliau menghormati suara permintaan dari pasukannya. Namun kesan dari itu, bila gagal peristiwa tahkim, muncul kelompok pemberontak dari kem Saidina Ali yang dikenali sebagai khawarij.

Di zaman mutakhir yang berbeza suasana iman, pastinya kesan yang lebih buruk dan dahsyat. Kata-kata benar diguna politikus licik menjaga kepentingan diri, akhirnya yang ikhlas tetapi naif mula berpecah sesama sendiri dan timbul krisis yang tak sepatutnya.

Maka, aku ingin berpesan, fahami politik slogan dan pengggunaan yang benar, bukan membiarkan diri mudah ditipu dengan slogan oleh politikus licik yang sentiasa ambil kesempatan.

Gagasan Budaya Politik Matang Sejahtera adalah pendekatan masakini yang dibawa oleh PAS. Gaya politik dengan slogan yang menarik. Namun pendekatan ini berdasarkan syariat bukan sekadar ucapan slogan dan ruang-ruang escapisme dalam berpolitik.

Matang dengan mendahului syariat dan syurah musyawarah. Sejahtera dengan keyakinan pendekatan adalah berdasarkan iman yang mengimani panduan sirah Nabi adalah terbaik dalam menyusun strategi perjuangan.

Bukan politik matang bila mendahului akhlak berjemaah, kemudian menyalut politik matang sejahtera untuk berlepas tangan. Bukan politik matang sekiranya orang jemaah dihina, tetapi mengagung matang apabila bersama pengkhianat perjuangan. Ini bukan matang, ini kebodohan dan pembodohan yang nyata.

Politik matang sejahtera, politik hujah yang benar. Bukan politik sentimen dan mengeksploitasi perasaan pengikut yang menyimpan siqah dan wala tanpa prejudis. Tidak semua kebatilan akan dapat disembunyikan. Allah akan membongkar gerak kerja politikus oppurtunis dengan mereka yang beriman yang masih cerdas dengan ilham daripada Allah.

Pesan yang akhir. Beringatlah politikus yang sentiasa hidup dengan lakonan. - HARAKAHDAILY 16/6/2016

Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor.

Share on Myspace