Bagaimana Amerika mahu bunuh ekonomi umat Islam?

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

SIRI KESEDARAN EKONOMI ISLAM 1:
BAGAIMANA AMERIKA MAHU MEMBUNUH EKONOMI UMAT ISLAM DENGAN PENUBUHAN ERM?

BUKU Confessions of Economic Hitman (Pengakuan Pembunuh Upahan Ekonomi Dunia) karangan John Perkins sangat menarik untuk dibaca, terutamanya oleh ahli politik dan ahli ekonomi yang ikhlas memperjuangkan Islam.

Benar sebagaimana yang telah diberikan amaran oleh Allah SWT:

وَدَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَوۡ تَغۡفُلُونَ عَنۡ أَسۡلِحَتِكُمۡ وَأَمۡتِعَتِكُمۡ فَيَمِيلُونَ عَلَيۡڪُم مَّيۡلَةً۬ وَٲحِدَةً۬ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيۡڪُمۡ إِن كَانَ بِكُمۡ أَذً۬ى مِّن مَّطَرٍ أَوۡ كُنتُم مَّرۡضَىٰٓ أَن تَضَعُوٓاْ أَسۡلِحَتَكُمۡۖ وَخُذُواْ حِذۡرَكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡكَـٰفِرِينَ عَذَابً۬ا مُّهِينً۬ا

Maksudnya: Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Dua perkara yang menjadi fokus musuh-musuh Islam untuk melemahkan orang Islam ialah senjata dan ekonomi. Perlu dipastikan orang Islam tidak memiliki senjata dan ekonomi, maka mereka akan menakluki negara dan orang Islam itu sendiri dengan cara yang mudah.

Fokus saya dalam siri tulisan ini ialah bagaimana musuh mahukan supaya orang Islam lemah dan ekonomi mereka dikuasai oleh musuh?

Amerika telah menubuhkan kumpulan yang diistilahkan sebagai Economic Hit Man (Pembunuh Ekonomi). Mereka menguasai empayar global secara kolektif yang dipersetujui oleh badan-badan korporat, kerajaan dan ceo-ceo bank. Kolektif ini dikenali sebagai Corporatocracy.

John Perkins adalah salah seorang EHM yang telah dilatih oleh Claudine, seorang jurulatih yang cantik dan bijak. Claudine telah mengingatkan John Perkins bahawa: "Tugas saya (Claudine) ialah untuk membentuk kamu menjadi seorang pembunuh ekonomi. Tidak seorangpun harus tahu, walaupun isteri kamu". kemudian dengan serius beliau menambah lagi, "sekali masuk, kamu tidak boleh menarik diri. Kamu adalah EHM sepanjang hayat".

Satu perkara yang penting perlu diingatkan bahawa mereka (EHM) berada di mana-mana. Di dalam kerajaan, parti politik, syarikat-syarikat. EHM adalah first line of attack (penyerang barisan depan). Apabila mereka gagal maka second line of attack (penyerang barisan kedua) akan muncul dengan pembunuhan (nyawa atau karakter) orang-orang yang menghalang kemaraan EHM.

Jika gagal juga maka akan muncul third line of attack (penyerang barisan ketiga) yang berupa penyerangan tentera ke sesebuah negara. Beliau menyebut: "Bagi menjalankan tugasan yang dipertanggungjawab oleh sistem, orang seperti saya dibayar gaji dan imbuhan besar. Sekiranya misi kami gagal, penyangak yang lebih ganas yang kami gelar "serigala" masuk ke dalam arena. Dan sekiranya serigala juga gagal, tentera mengambil alih tugas itu."

Dalam penutup prolog beliau berkata: "jika misi kami gagal, satu kumpulan lebih kejam akan masuk selepas kami. Kami EHM menamakan mereka serigala. Serigala-serigala itu sentiasa berada di mana-mana, bersembunyi dalam kegelapan bayang-bayang. Sekiranya mereka muncul, ketua-ketua negara digulingkan ataupun terbunuh dalam 'kemalangan dahsyat'. Dan sekiranya dengan tidak sengaja misi serigala itu gagal, seperti mana mereka gagal di Afghanistan dan Iraq, cara lama digunakan. Apabila serigala gagal, generasi muda anak-anak Amerika dihantar bagi membunuh dan dibunuh."

Secara ringkas, saya melihat perkara yang diceritakan oleh John Perkins di dalam buku ini adalah persis sebagaimana yang telah saya ingatkan masyarakat kita tentang penjajahan ekonomi moden hari ini. "Bumi ini milik kita, modal mereka adalah wang kita, pembelinya juga adalah kita tetapi hasilnya milik mereka." Kesemua ini dijayakan dengan sistem ekonomi negara pada hari ini.

Apa yang diceritakan oleh John Perkins adalah mirip kepada apa yang sedang berlaku di Malaysia. Benteng kepada penjajahan ini ialah kerajaan, kerana kerajaan menguasai syarikat melalui sistem, akta dan peraturan seterusnya menguasai bumi dan hasilannya. Untuk selamatkan negara daripada "serigala" pula, rakyat perlu menyokong sistem Islam dan menentang sistem yang ada, bukan siapa atau parti mana.

Dengan kata lain, kita perlu menyokong parti yang mempejuangkan sistem Islam, bukan diterajui oleh orang Islam tanpa menjadikan Islam yang jelas sebagai perjuangan parti.

Dari sini juga saya dapati, tidak hairan jika serigala ingin memakan 'boneka' pertama kerana tidak 'perfect' di dalam menjalankan tugasnya atau bersifat 'menghalang' kerja ERM, untuk digantikan dengan boneka kedua yang dianggap lebih patuh dan perfect.

Bagi saya, bukan saya melawan Umno kerana ia Umno, tetapi untuk menegakkan sistem Islam bagi menyelamatkan negara dan dunia. Sebab itu saya sangat peduli dengan siapa yang gantikan Umno jika Umno dan BN kalah. Sebab saya peduli ialah kerana saya takut yang naik itu adalah boneka kedua selepas boneka pertama gagal. – HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace