Kelantan pertahan aurat wanita sejak berabad

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan tiada lagi mangsa banjir yang rosak sepenuhnya rumah mereka tinggal dalam khemah.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Md Ashaari Mamat berkata sehingga Mei lepas tidak ada mangsa banjir besar 2014 kalangan penduduk tempatan tinggal di bawah khemah.

“Mangsa-mangsa banjir yang belum mendapat rumah baru tinggal di rumah transit dan rumah sewa dengan dibayar kerajaan negeri sebelum berpindah ke rumah baharu yang dibina.

“Tumpuan kerajaan membina rumah baharu kepada mangsa-mangsa banjir terbabit sama ada memiliki lot sendiri atau menumpang di tanah rezab sebelum ini,” katanya di sini.

Sebuah portal berita melaporkan Kelantan sepatutnya memberi lebih tumpuan menyiapkan projek rumah mangsa banjir 2014, ada antara mereka masih tinggal dalam khemah, berbanding mengawasi aurat wanita.

Baru-baru ini Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menyebut prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir kurang memuaskan.

Menurut laporan itu kemajuannya 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah yang masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas.

Bagaimanapun mengikut laporan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sehingga 24 Mei lepas sebanyak 1,057 rumah kekal baharu mangsa banjir siap dibina dan 348 lagi sedang dalam pembinaan.

Ini bermakna kemajuan pembinaan rumah kekal baharu sekarang lebih 75 peratus.

Md Ashaari berkata, portal berita terbabit tidak sepatutnya menggunakan data lama Audit Negara bagi menghodohkan kerajaan Kelantan, sedangkan perkembangan sebenar di lokasi jauh lebih besar.

“Rumah tersebut dibina di bawah peruntukan kerajaan negeri, kerajaan pusat dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan portal berita terbabit memahami sensitiviti rakyat Kelantan yang menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian mereka.

Katanya, prinsip kehidupan beragama menyebabkan Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah.

Menurutnya selepas PAS menguasai semula negeri tersebut pada Oktober 1990 amalan Islam diperkasakan lagi dan ia menjadi dasar kerajaan negeri.

“Dasar itulah yang dipertahankan majorit rakyat Kelantan sehingga sekarang apabila mengekalkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

“Dan Ops Aurat yang dijalankan agensi kerajaan negeri sempena Ramadan sekarang bagi mendidik rakyat Kelantan terhadap kehidupan beragama,” ujarnya.

Kelantan juga sejak lebih 20 tahun lalu melaksanakan peraturan pemakaian menutup aurat bagi kakitangan wanita Muslim sebagai syarat kelulusan lesen premis perniagaan.

Malah amalan itu juga menjadi ikutan negeri-negeri lain sekarang. - HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace