Kenapa PAS terpaksa balas serangan PAN?

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Tindakan kumpulan kempen diketuai Presiden PAN, Mohamad Sabu sengaja berceramah di hadapan Markas PAS membuktikan parti itu mensasarkan PAS sebagai lawan utamanya.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, PAN hadir bertanding semata-mata menyekat peluang kemenangan PAS.

"Setelah mereka gagal menguasai PAS yang diatur perancangan sulitnya lebih 30 tahun, mereka tubuh wadah baharu PAN yang sememangnya untuk saingi PAS.

"Tetapi PAS membuat lonjakan kekuatannya walaupun bersendiri. Maka PAN bila tak dapat saingi PAS, dia bertindak gagalkan atau halang usaha PAS.

"Apa motif ceramah depan Markas PAS Sayong Lembah petang semalam yang ada hanya petugas? Sepatutnya menemui pengundi, itu semua untuk provokasi, tetapi gagal," bidas beliau yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia.

Sebab itu katanya, wajar sekali PAN distatuskan sebagai 'pengacau' dan wujud hanya semata-mata atas kekecewaan serta dendam kesumat.

Malah terang beliau, hala tuju parti itu juga kabur, selain menjadi proksi kepada DAP hingga tergamak bersekongkol mempertikai dan mempermainkan usaha PAS memartabatkan Islam.

Mereka itu ujarnya, hanya membawa modal kononnya PAS akan bergabung dengan Umno, sedangkan PAS gigih merampas dua kerusi BN di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Kerana itulah jelasnya, PAS terpaksa membalas serangan PAN disebabkan parti tersebut terlebih dahulu mensasarkan serangannya kepada PAS.

Sedangkan BN berlawan dengan PAS melalui saingan kempen dan tarikan undi tanpa pelanggaran peraturan pilihan raya.

Menurut Akmal, kehebatan dan kekuatan mereka yang disebut-sebut selama ini hanyalah gilapan rekaan dan 'mitos'.

"Ingat, mereka memegang jawatan-jawatan strategik dahulunya. Mereka susun atur orang mereka dan kuasai permainan media. Mereka juga ada pasukan doktrin dan 'psywar' iaitu Hawaii 5-O.

"Jika betul mereka hebat dan kuat, kenapa PAS tidak boleh menang pilihan raya yang disertai? Pemilihan muktamar lepas pun mereka gagal untuk menang.

"Mereka menggambarkan orang lain di dalam PAS terutamanya golongan ulama sebagai tua, tidak tahu buat kerja dan tanpa strategi," imbas beliau.

Namun jelasnya, hakikat sebenar dapat dibuktikan sejak dari muktamar lalu apabila PAS bangkit lebih perkasa walaupun secara bersendiri.

Perkara itu ujar beliau, dapat dilihat dengan pertambahan ahli dan Cawangan PAS, persaingan memberangsangkan di PRN Sarawak dan kini memberi tentangan hebat kepada BN di dua PRK.

"Mereka gagal untuk hancurkan dan sekat PAS. Jadi sekarang mereka hiburkan hati sendiri dengan membuat kacau. Pengundi mesti tolak golongan tak tentu arah ini," seru beliau. – HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace