Anak muda punyai kuasa undi desak kerajaan

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: PRK Kuala Kangsar merupakan kesempatan terbaik untuk rakyat khususnya anak muda membuat desakan ke atas kerajaan memerintah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri berkata, PRK ini merupakan kesempatan terbaik untuk anak muda mengajukan tuntutan mereka.

Kerana menurutnya, PRK ini adalah yang terakhir bagi penggal parlimen kali ini sebelum PRU14.

"Jadi ini detik emas. Anak muda mesti kritikal menggesa kerajaan menunaikan hak-hak dan kepentingan anak muda khususnya dan masa depan negeri Perak serta negara Malaysia.

"Lihat sahaja, telah jadi 'tabiat' Kerajaan BN membawa segala projek, janji-janji manis dan menunaikan permintaan bila adanya pilihan raya.

"Kita tidak mahu kerajaan hanya bertindak hanya untuk kepentingan undi. Tetapi kita terpaksa jadikan PRK ini untuk mendesak kerajaan," ujarnya.

Terang Hafez, desakan itu hanya akan difahami kerajaan dengan menyokong dan mengundi hingga memenangkan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Jelasnya, BN telah mewakili Parlimen Kuala Kangsar sejak dahulu, tetapi tidak banyak membuat perubahan yang ketara.

Katanya, sekiranya tidak wujud istana di sini sudah tentu Kuala Kangsar akan diabaikan sepertimana dapat dilihat kepada kawasan-kawasan pinggirnya.

Menurut beliau, terdapat jurang ketara dapat dilihat pada aspek frasarana dan kemudahan asas di kawasan sekitar di mana pembangunan berlaku amat perlahan.

Malah bentangnya, isu Jambatan Manong, kemudahan dan tenaga pakar di Hospital Kuala Kangsar dan nasib penoreh getah di parlimen ini menjadi bukti pengabaian kerajaan.

"Itu indikator untuk dinilai anak muda. Tapi kita perlu lihat kepentingan-kepentingan anak muda yang mula digugat sekarang. Antaranya beban kos melanjutkan pengajian tinggi.

"Sekarang ini peluang ke luar negara makin mengecil. Biasiswa juga semakin berkurang. Perbelanjaan harian semasa belajar pula tinggi.

"Terbaru, kegagalan membayar dengan baik hutang pinjaman PTPTN berdepan disenaraihitam untuk keluar negara. Nak pergi umrah pun terbantut," ujarnya mewakili keluhan anak muda.

Menurut beliau, anak muda juga berdepan kesukaran untuk mendapat pinjaman memulakan kerjaya dan hidup selepas tamat pengajian.

Katanya, kerajaan gagal menyediakan intensif yang mesra anak muda seperti pembiayaan perkahwinan, membeli kenderaan dan rumah.

Jelas beliau, skim yang ditawarkan sebenarnya bukan sahaja agak membebankan, tetapi ramai gagal memenuhi syarat.

Apatah lagi katanya, peluang pekerjaan pada hari ini menyebabkan ramai anak muda terpaksa bekerja disektor yang tidak memberi upah gaji memuaskan atau setara kelulusan.

"Jadi protes anak muda mesti secara intelek dan bijaksana. Kita angkat calon PAS untuk memberi tekanan berterusan pada kerajaan. Sudah pasti menjelang PRU14, kerajaan terpaksa lebih peka kepada kepentingan anak muda dan rakyat.

"Kita juga mahu kerajaan hari ini menyelesaikan banyak skandal dan penyelewengan yang merugi dan menjejaskan negara. Ini kuasa undi yang mesti kita manfaatkan," serunya memberi semangat. – HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace