PAN dah nak kalah, tiba-tiba suruh PAS tarik diri

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Tindakan Presiden PAN, Mohamad Sabu, meminta calon PAS PRK P.093 Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman, menarik diri dari bertanding dan menyertai PAN menggambarkan parti itu cukup bermasalah.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dari seruan itu dapat disimpulkan PAN waktu ini terlalu terdesak hingga sanggup bertindak di luar pertimbangan akal yang waras.

"Seruan supaya Dr Rani menarik diri mula ditimbulkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Jadi bila Mohamad menyokongnya, ia memperkukuhkan persepsi orang ramai bahawa PAN adalah pak turut, pak angguk dan kuda tunggangan kepada DAP.

"Pada masa sama, seruan ini membuktikan DAP dan PAN bukan parti berprinsip, baik prinsip demokratik pada DAP mahupun prinsip Islamik pada PAN. Kerana mencuri calon parti lawan bagi mencerahkan kemenangan calon parti sendiri jelas bukan tindakan demokratik dan Islamik.

"Mohamad Sabu sendiri sebelum ini sering meuar-uarkan konon PAN akan menang bukan saja di Sungai Besar tetapi juga di Kuala Kangsar. Bila sekarang beliau meminta calon PAS menarik diri tidak lain tidak bukan ia adalah pengakuan terbuka PAN sudah yakin akan kalah," katanya.

Dr Kamarul Zaman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang memetik Mohamad Sabu menyokong seruan Lim Kit Siang supaya Dr Abdul Rani menarik diri dari bertanding dalam PRK Sungai Besar dan menyertai PAN kerana kononnya tidak mendapat sokongan pengundi.

Jelas beliau, jika Mohamad Sabu sudah yakin calon PAN akan kalah, beliau sepatutnya mengarahkan calon PAN menarik diri kerana beliau Presiden PAN, bukannya cuba campur dalam urusan PAS yang tiada kena-mengena dengannya.

"Kita pun pelik dengan PAN ini, bila nama parti ada istilah amanah sepatutnya kenalah mengajak orang lain untuk berpegang dengan amanah, bukan untuk mengkhianati amanah, termasuk amanah sebagai calon pilihan raya.

"Jika prinsip semudah inipun tidak boleh difahami dan diamalkan oleh pimpinan tertinggi PAN, maka mungkin lebih elok jika istilah amanah tidak lagi digunakan di dalam nama parti ini.

"Jika betul DAP dan PAN adalah parti yang demokratik dan Islamik, mereka sepatutnya bersikap matang dan terus berlawan secara ‘anak jantan’ tanpa mencetuskan provokasi tidak sihat begini," katanya.

Dr Kamarul Zaman berharap PAS dapat bertegas dengan kedua-duanya parti itu dalam soal ini kerana calon PAS adalah Ahli Dewan Negeri Selangor di mana tindakan tidak beretika DAP dan PAN itu merupakan satu cubaan mencuri Adun.

"Kita pening memikirkan logik di sebalik tindakan Mohamad Sabu ini. Jika betul calon PAS tidak mendapat sokongan pengundi apa untungnya beliau cuba ditarik ke dalam PAN, mungkin memang sudah nanar agaknya," kata lagi. – HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace