PAS menang di K Kangsar, Sg Besar mampu julang Islam

HARAKAHDAILY | .

PAS sejak sebelum merdeka telah memposisikan dirinya dalam setiap pilihan raya dalam negara ini. Ijtihad para ulamak PAS yang sejak dari awal penubuhannya pada tahun 1951 dengan mengharuskan penyertaan dalam lapangan politik dan demokrasi termasuk berdakwah menerusi penyertaan dalam pilihan raya adalah sesuai dengan pendekatan "muwajahah silmiah" yang sememangnya anjuran Islam menepati perjuangan yang ditunjukki oleh Baginda Nabi s.a.w.


PAS telah menyertai pilihan raya sebanyak 13 kali dan pernah berkali-kali mengalami kekalahan dan beberapa kali memperolehi kemenangan termasuk pilihan raya kecil. Penyertaan PAS dalam mana-mana pilihan raya walaupun kekalahan yang dihadapi oleh PAS di padang yang tidak sama rata dan serba kekurangan, langsung tidak pernah terlintas dalam benak fikiran PAS untuk berputus asa dan kecewa. Penyertaan PAS dalam pilihan raya menurut perspektif PAS adalah merupakan tanggungjawab jamaie dan haraki sebagai salah satu usaha daripada pelbagai usaha yang ada bagi menyampaikan risalah dan mesej Islam kepada masyarakat di negara ini. Pendirian dan sikap inilah tiada pada kumpulan dan parti lain dan tiada sama mereka dengan PAS. Kejayaan PAS juga dilihat selain menang dalam pilihan raya, PAS juga merasakan kejayaan itu apabila PAS dapat menyatakan dan menyuarakan ajaran Islam dan menunjukkan akhlak berpolitik cara Islam.

Bukan bermakna PAS tidak mahukan kemenangan, kemenangan dalam pilihanraya  samada dalam PRU atau PRK bagi PAS adalah merupakan salah satu jalan untuk PAS menegakkan Islam dalam negara ini selain method lain seperti dakwah fardiyyah dan juga dalam dakwah bidang ilmu serta pendidikan.

Namun, PAS sememangnya memanfaatkan semaksima mungkin kemenangan yang diperolehi PAS dalam pilihan raya untuk memartabatkan Islam sebagai cara hidup bermasyarakat dan bernegara.

Oleh sebab itu, PAS sebenarnya mendambakan kemenangan dalam pilihan raya dan istiqamah memperjuangkan Islam menerusi pilihan raya dan mengharapkan sokongan masyarakat dan pengundi untuk memberi undi dan sokongan kepada PAS di atas faktor-faktor berikut:

1. PAS SATU-SATUNYA PARTI YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM

Mesej Islam yang dibawa oleh PAS adalah berbeza dengan perjuangan parti yang lain yang hanya menjadikan Islam sebagai aspek kecil dalam urusan kehidupan. Fahaman sekularisme dan Liberalisne serta Pragmatisme yang dianuti dan mendasari semangat perjuangan sebahagian orang Islam seperti dalam parti Umno dan PAN, menjadikan PAS hanyalah satu parti sahaja yang benar-benar memperjuangkan Islam.

Islam yang difahami menerusi ajaran sekular dan Islam yang ditundukkan dengan paksi akal semata-mata atau Islam Liberal memangsakan Islam sebagai ajaran yang tidak berfungsi untuk menyelamatkan manusia

PAS yang memperjuangkan Islam memahami daripada firman Al Quran "Islam sebagai Ad Deen" iaitu Sistem Kehidupan yang menyeluruh dan lengkap untuk mentadbir manusia seluruhnya samada Muslim mahupun yang bukan Muslim. Slogan yang dibawa oleh PAS iaitu "jikalau jaga bangsa, bangsa selamat tetapi belum tentu Islam selamat. Jikalau jaga Islam, bangsa selamat dan Islam selamat", ialah satu mesej ringkas untuk menyeru masyarakat multi racial dalam negara ini khas masyarakat Melayu Islam untuk sama-sama dengan PAS membawa mesej ini.

Parti PAN yang bertunjangkan liberalisme Islam bukan menjadikan mereka sebuah parti Islam. Jamaah dan parti Islam menyakini Islam adalah satu ajaran yang lengkap dan sempurna. Jamaah Islam sebenar adalah bertunjangkan wahyu dan dalil yang jelas serta ijtihad para ulama berlandaskan kefahaman daripada wahyu dan petunjuk ilmu dan bukannya nafsu dan juga matlamat duniawi semata-mata. PAS tidak berselindung di sebalik hujjah akal untuk menafikan dan mengenepikan nas al Quran yang jelas dan muktamad. PAN sering kali menggunakan hujjah "Maqasid" untuk merasionalkan tindakan mereka menolak perlaksanaan hukum Al Quran adalah merupakan satu kedangkalan ilmu Islam sebenar.

2. PAS KONSISTEN MEMPERJUANGKAN ISLAM

PAS sejak dari bertahun-tahun tidak pernah lari daripada dasar perjuangannya iaitu untuk memartabatkan Islam dan nilai-nilainya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara menuju keredhoan Allah s.w.t.

PAS kosisten sama ada ketika sebagai pembangkang mahupun ketika berada dalam Kerajaan Campuran Perikatan selepas peristiwa 13 Mei 1963 dan sehingga kini memperjuangkan Islam dan berusaha dalam setiap gerak kerjanya ke arah matlamat tersebut. Walaupun PAS mengalami silih berganti kepimpinan, namun dasar perjuangannya tetap istiqamah dan konsisten.

PAS apabila mendapat peluang berada dalam Kerajaan Campuran Perikatan, PAS menjadi faktor paling kuat kepada pembaharuan sistem pentadbiran negara dan kerajaan ke arah Islam melalui usaha-usaha Islamisasi seperti pemakaian patuh Syariah di kalangan kakitangan kerajaan dan hospital, menjadikan majlis dan upacara kerajaan patuh Syariah, rancangan televisyen berunsurkan Islam dan juga tekanan daripada perjuangan PAS menyebabkan kerajaan terpaksa akur dengan konsep Islam sehingga wujudnya Universiti Islam dan juga Bank Islam serta lain-lain walaupun hanya dalam bentuk juzuk atau sebahagian sahaja.

PAS juga konsisten sepanjang perjuangannya iaitu bagi memartabatkan hukum Syariah yang bertepatan dengan ajaran Al Quran dan Sunnah. Tatkala PAS memperolehi kemenangan di Kelantan pada tahun 1990 dan Terengganu pada tahun 1999, PAS telah menyatakan hasrat untuk merealisasikan usaha 'mengenakmenkan' Kanun Jenayah Syariah sebagai salah satu daripada tuntutan konsep bernegara dalam politik Islam. Walaupun sehingga kini usaha tersebut belum berjaya sepenuhnya, hakikatnya ia menggambarkan bahawa PAS amat konsisten dengan perjuangannya.

Terbaru, iaitu melalui sidang Parlimen Dewan Rakyat PAS menerusi Presidennya Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjaya mengorak langkah dalam proses memartabatkan Syariah Islam dengan pembentangan cadangan Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah 1965 yang sudah ketinggalan zaman dan lapuk agar Sistem Kehakiman Syariah di Malaysia yang terkebelakang dalam arus sistem kehakiman di negara ini dapat diperkemaskan dan diorientasikan Sistem Perundangan Islam yang sebenar. Inilah sumbangan PAS dan konsistennya dalam arena politik di negara ini.

3. WAKIL PAS DI PARLIMEN MAMPU MEMBAWA ISLAM DI PERSADA

PAS yang kini diwakili seramai 13 orang ahli Parlimen cukup memberikan satu impak yang mantap bagi menjadi orang tengah antara umat Islam khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya menyuarakan hak dan pandangan dalam sistem negara berperlembagaan di negara ini.

Ahli Parlimen PAS tatkala mewakili PAS dan juga rakyat di Dewan Rakyat berpeluang untuk menyatakan prinsip-prinsip Islam lebih efektif dan diyakini mampu dalam menangani pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial apabila dibangkitkan di Parlimen. Sebagai contoh, dalam isu GST, PAS antara yang menyuarakan bantahan terawal terhadap perlaksanaan GST kepada rakyat yang mana ia bukan sekadar membebankan rakyat dari sudut ekonomi, tetapi bantahan dan pandangan PAS lebih daripada itu. PAS membantah GST kerana ia zalim dan juga bercanggah dengan prinsip asas agama Islam yang lengkap dan syumul di samping PAS mengemukakan cadangan alternatif berlandaskan Islam menggantikan GST. Inilah cara PAS  yang diwakili ahli parlimennya yang membawa mesej Islam berdakwah di Parlimen.

Ahli Parlimen PAS juga mampu mempertahankan dan memperjuangkan isu masyarakat yang multi racial di negara di Dewan Rakyat kerana ianya adalah ajaran Islam yang bersifat "Membawa Kesejahteraan Kepada Ummat Manusia" bukan hanya kepada yang MUSLIM bahkan juga kepada BUKAN MUSLIM.

Isu-isu berkaitan dengan agama Islam dan hak ummat Islam juga mampu dipertahankan oleh Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat. Hak Umat Islam untuk mempraktikkan ajaran Islam yang lengkap dan syumul akan diperjuangkan oleh ahli parlimen PAS seperti usaha untuk mengangkat martabat RUU Mahkamah Syariah agar lebih memberikan penyelesaian berkesan kepada masyarakat Islam.

Kemenangan PAS yang mampu menambahkan bilangan ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat adalah satu kelebihan kepada PAS untuk lagi bekerja mewakili ummat Islam dalam negara ini untuk memartabatkan Islam dan sistemnya yang syumul.

4. WAKIL PAS SEBAGAI AHLI PARLIMEN DAN AHLI UNDANGAN NEGERI TERKENAL DENGAN BERSIH DARIPADA KORUPSI

PAS sepanjang keberadaan di persada politik tanah air selama ini telah mencatatkan rekod bahawa wakil rakyat PAS dan calon PAS adalah mereka yang bersih daripada korupsi dan jujur dalam menjalani tugas sebagai wakil rakyat.

Tidak pernah seorang wakil rakyat PAS pernah disabitkan kesalahan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Wakil Rakyat PAS terkenal dengan kualiti kepimpinan dan integriti yang telah melepasi pelbagai tapisan dalam sistem pengurusan PAS itu sendiri iaitu Majlis Syura Ulamak dan juga Kepimpinan PAS pelbagai peringkat.

Mereka yang dipilih oleh menjadi calon PAS dalam mana-mana pilihan raya adalah mereka yang telah dipastikan memiliki akhlak mulia, menjaga batas agama Islam, jauhi daripada dosa besar dan tidak dikenali sebagai melazimi dosa kecil dan tiada rekod buruk dalam undang-undang samada perundangan Syariah ataupun Konvensional. Inilah menjadikan wakil atau calon PAS adalah sebagai calon terbaik yang ditawarkan oleh PAS untuk mewakili rakyat dan pengundi bagi menyuarakan hak mereka.

Calon PAS senantiasa dipantau oleh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat dari peringkat cawangan, kawasan, negeri, pusat sehinggalah ke Majlis Syura Ulamak yang akan mempastikan agar wakil PAS dan calonnya adalah layak dan yang paling penting diredhoi oleh Allah azza wa jalla.

Maka, dengan sebab hujah-hujah yang dinyatakan di atas, PAS adalah merupakan pilihan terbaik para pengundi khasnya dan juga masyarakat negara ini amnya untuk memilih wakil atau calon PAS di Parlimen P.067 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar pada 18 Jun 2016 nanti.

Gunakanlah kertas undi dan suara undi kalian untuk menyatakan bantahan dan juga sebagai "Silent Protest" terhadap kepincangan kepimpinan negara ini. Yakinlah bahawa suara kalian juga adalah amat penting kepada perjuangan Islam dan usaha memartabatkannya di negara ini.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
17 Jun 2016 / 12 Ramadhan 1437 - HARAKAHDAILY 17/6/2016

Share on Myspace