Petugas diseru teguhkan ribat menuju kemenangan

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Para petugas khususnya Pemuda PAS diminta untuk memperteguhkan ribat menjelang detik-detik akhir PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, para petugas PAS seluruh negara telah menunjukkan tadhiyyah tertinggi dalam dua PRK tersebut.

"Wajib kepada kita istiqamah hingga diisytiharkan menang atau kita tetap teguh melangsungkan perjuangan hingga kemenangan yang dijanjikan Allah. Oleh itu jangan kita leka di saat akhir.

"Kukuhkan roh keyakinan kita pada Allah, teruskan munajat, buat pemantauan gerakan musuh dan perkemas posisi kerja kita hingga pengumuman keputusan malam esok," seru beliau.

Pujinya, para petugas PAS telah mengharung tempoh PRK ini dengan disiplin, tawakal, semangat juang dan budaya kerja terbaik.

Oleh itu katanya, kewaspadaan di hari terakhir kempen dan sepanjang hari pengundian mesti ditingkatkan dari cerobohan dan strategi musuh yang mungkin memesongkan tumpuan.

Tegas beliau, musuh tentunya akan meningkatkan lagi serangan dan tekanan bagi menggagalkan cita-cita perjuangan Islam yang didokong PAS.

"Insya-Allah, dengan keikhlasan para petugas, Allah catatkan ia sebagai pahala jihad di sisi-Nya. Beruntung tuan-tuan, puan-puan terpilih berada di medan ini dalam bulan Ramadan.Berhadapan pula jentera dan rancangan sekutu Ahzab.

"Mereka telah isytihar untuk bersuka ria meraikan kemenangan menewaskan kita, termasuk dengan pesta arak, sama sebagaimana ungkapan Abu Jahal menghadapi Perang Badar.

"Tapi kita PAS bawa mesej pada PRK ini sama sebagaimana doa Rasulullah (pada Perang Badar). ‘Ya Allah, jika kalah pasukan ini, tidak akan ada lagi manusia menyembah-Mu’. Kita juga panjatkan doa, ‘Ya Allah, jika kalah pasukan ini, akan terjejas usaha mengangkat syariat-Mu’," ujarnya.

Menurutnya, kemenangan PAS pada dua PRK ini akan menjamin dua undi tambahan untuk menyokong pindaan RUU Akta 355 Mahkamah Syariah.

Oleh itu, kemenangan pada PRK ini sangat penting dan para petugas PAS telahpun menyumbang bakti ke arah itu. – HARAKAHDAILY 17/6/2016

Share on Myspace