PAS mahu jumpa Ku Li kerana tidak ikut pendirian

HARAKAHDAILY | .

PAS MAHU JUMPA TENGKU RAZALIEGH KERANA TIDAK IKUT PENDIRIAN ANGKATAN (18 JUN 1995)

PADA hari ini dalam tahun 1995, PAS telah memutuskan untuk bersemuka dengan Presiden PMS46 bagi membincangkan tindakan parti itu membelakangkan pendirian Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dalam isu perlantikan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengarahkan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor supaya bertemu dengan pemimpin utama PMS46 itu pada 19 Jun 1995 sebelum PAS membuat keputusan berkait status hubungan kedua-dua parti tersebut. Isu ini telah menjadi titik mula krisis antara PAS dan PMS46 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1995.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999, PAS mendapat enam kerusi dan PMS46 tujuh kerusi Dewan Rakyat, manakala DAP pula mempunyai sembilan kerusi. PBS yang mempunyai lapan kerusi di Dewan Rakyat, pada 18 Mei 1995 telah mencadangkan supaya pemimpin Angkatan yang menggabungkan PAS, PMS46, Berjasa, Hamim dan Kimma mengetuai pembangkang kerana Angkatan mempunyai 13 kerusi.

Pada 6 Jun 1995, Tengku Razaliegh telah menarik diri dari dicalonkan, dan PAS mencalonkan Timbalan Presidennya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sebelum itu, pada 4 Jun 1995, PAS telah memaklumkan kepada Tengku Razaliegh tentang pencalonan Tuan Guru Haji Abdul Hadi setelah Presiden PMS46 enggan memegang jawatan itu.

Walau bagaimanapun, ketika pengundian dimulakan pada 7 Jun 1995 antara calon Angkatan, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dengan calon DAP, Lim Kit Siang, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail pada 15 Jun 1995 mengumumkan Lim Kit Siang terpilih ekoran sokongan PBS dan PMS46. Tindakan PMS46 menyokong calon DAP adalah sikap tidak setia kawan setelah dipersetujui supaya PAS mewakili Angkatan dalam pemilihan Ketua Pembangkang.

Bertolak dari sikap PMS46 ini, PAS mula mengkaji hubungannya dengan parti itu kerana sejak Pilihan Raya Umum 1995 ada beberapa isu tercetus yang telah menjejaskan hubungan kedua-dua parti seperti isu perlantikan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di mana PAS telah menyerahkan kuota Berjasa kepada PMS46 dan juga isu perjanjian bertulis antara PAS dengan Angkatan berkait dasar-dasar kerajaan yang dituntut oleh PMS46.

Dengan berlakunya isu pelantikan Ketua Pembangkang ini, PAS pada 18 Jun 1995 telah mengambil sikap untuk bersemuka dahulu dengan pemimpin tertinggi PMS46 sebelum pendirian PAS diputuskan.

Pada 19 Jun 1995, Presiden PAS telah bersemuka dengan Tengku Razaliegh untuk mendapat penjelasan tentang tindakan PMS46 tersebut. Antara sebab PAS memilih jalan berunding dengan PMS46 ialah kerana peranan parti itu dalam memenangkan PAS di Kelantan dan PAS tidak mahu memulakan perpecahan.

PAS tidak mahu PMS46 kembali kepada Umno kerana ia akan mengukuhkan semula parti kebangsaan sekular itu. PAS berpegang supaya jika perpecahan ini berlaku, biarkan kerana dimulakan oleh PMS46, di mana ia berakhir apabila parti itu akhirnya mengumumkan untuk dibubarkan dan bergabung semula dengan Umno.

Ekoran itu, PAS mengalihkan isu dalam pertemuan pada 19 Jun 1995 daripada membincangkan tindakan PMS46 dalam pemilihan Ketua Pembangkang kepada isu petisyen pilihan raya dan isu-isu semasa, yang menyebabkan krisis ini reda seketika.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 18/6/2016

Share on Myspace