Sambutan cukup baik dari pengundi - Dr Rani

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

SUNGAI BESAR: Calon PAS pada PRK Sungai Besar, Dr Abd Rani Osman yakin dengan penerimaan rakyat terutama para pengundi akan memberi sokongan kepadanya.

Ini, katanya berdasarkan  dua pusat mengundi yang dilawati memperlihatkan sambutan rakyat berbilang kaum cukup baik.

“Alhamdulillah, sambutan cukup baik dari pengundi dan penyokong kepada saya. Mereka menegur mesra saya baik orang Melayu dan Cina yang ditemui.

“Ada orang PAN yang datang untuk bergambar, berselfie dengan saya sebab mereka kenal saya,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau ditemui ketika melawat Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Harmoni di Taman Ria, Sekinchan, pagi tadi.

Pusat mengundi tersebut terletak dalam daerah mengundi Sekinchan Tempatan Selatan yang mempunyai seramai 639 pengundi membabitkan tiga saluran.

Menurutnya, pengundi masyarakat Tionghua yang ditemui tiada masalah besar dengan PAS dan cukup mesra.

Adun Meru itu berharap dan menaruh keyakinan kepada rakyat agar dapat membuat pilihan yang terbaik dalam PRK ini.

Beliau ditemani oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Seramai 42,365 pengundi akan membuang undi pada PRK Parlimen Sungai Besar yang dibuka seawal jam 8.00 pagi dan ditutup 5.00 petang. - HARAKAHDAILY 18/6/2016

Share on Myspace