PRK: Bukti PAS tidak lumpuh seperti didakwa

HARAKAHDAILY | .

Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana PRK kali ini membuktikan bahawa PAS tidak lumpuh seperti yang didakwa oleh pihak lawan kita.

Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh para petugas PAS yang telah bertungkus lumus membantu PAS dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Sesungguhnya jika dikira dari sudut undi, PAS belum pernah menang di kedua-dua kawasan parlimen tersebut. Namun PAS sentiasa menang dari sudut pengorbanan ahli yang tidak pernah mendapat upah walau satu sen pun, malahan mereka sanggup pula membelanjakan wang ringgit yang banyak demi mencari redha Allah, demi mencari sebuah kemenangan yang hakiki di akhirat kelak.

Kini PAS telah memasuki era lebih mencabar. PRK kali ini memberi satu isyarat bahawa kita akan berhadapan dengan saingan sangat mencabar dari gabungan DAP, PKR, PAN dan gabungan yang lebih besar dari parti-parti komponen BN.

Pemuda PAS bermula dari sekarang perlu terus membuat persiapan rapi dan jitu untuk menghadapi PRU akan datang. Pemuda PAS perlu bersegera merangka dan melaksana pelbagai kaedah dan strategi mantap dan ampuh bagi meraih semaksimum mungkin undi dalam PRU akan datang.

Insya Allah putus asa tidak pernah wujud dalam kamus jentera PAS. Kecewa tidak pernah ada dalam diari pejuang PAS, Bangkit dan terus bekerja. Teruskan istiqamah hingga kemenangan.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT

Akmal Kamarudin
Ketua Pemuda PAS Perak
Kuala Kangsar - HARAKAHDAILY 18/6/2016

Share on Myspace