Muhasabah perjuangan buat sekalian pencinta Islam

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA kira keputusan kedua-dua Pilihan Raya Kecil  PRK adalah peluang muhasabah terbaik buat sekalian pencinta Islam.

Secara lebih khusus saya panjatkan harapan ini kepada para penggiat Parti Islam Se-Malaysia PAS. Insya-Allah, sama-sama kita jadikan peluang ini bagi menyusun gerak kerja lebih baik demi sebuah perjuangan.

Kalau dapat diumpamakan, PAS itu harus berfungsi umpama sepohon pokok yang rendang dan berbuah. Ayuh kita sama-sama muhasabah, di mana kita?

Tunjang kepada pepohon ini adalah tarbiah. Tanpa tarbiah yang sempurna, pohon ini akan hilang akar tunjangnya hingga rebah menyembah bumi.

Rendangnya pepohon ini dengan rimbunan  dedaunan adalah dakwah. Dengan dakwah yang baik, umat manusia mampu menunpang teduh dari kepanasan duniawi yang sifatnya sementara. Biarkan ia menjadi tempat singgah  bagi memenuhi kelangsungan sebuah kehidupan.

Pohon rendang bertunjangkan akar banir ini biarlah juga mengeluarkan buah ranum buat mereka yang menumpang teduh. Buah ranum inilah jelmaan kepada gerak kerja berkebajikan yang mesti disempurnakan.

Pada saya, inilah model asas siasah Islamiah yang telah diterjemahkan melalui contoh baginda Rasul Allah SAW dan para sahabat.

Insaflah, jika ingin jadikan PAS itu wadah perjuangan Islam untuk rakyat, kitalah yang bertanggungjawab kepada suburnya pepohon rendang berbuah ranum ini. – HARAKAHDAILY 19/6/2016

Share on Myspace