Analisis ringkas PRK: PAS paling tercorot?

SYED AHMAD FADHLI | .

Keputusan seperti dijangka, BN berjaya kekal di dua kerusi yang memang sudah disandang sebelum ini. Dengan pertandingan 3 penjuru, BN dapat menang dengan lebih bergaya berbanding PRU13.

Adakah PAS tercorot?

Ya dan tidak.

Di Sungai Besar, PAS berada di no 3 manakala di Kuala Kangsar pula PAN berada di kedudukan tercorot.

Mengapa kelihatan PAS hilang begitu banyak undi berbanding PRU13?

Kerana dahulunya penyumbang utama undi PAS ialah undi dari kaum Cina di kedua-dua Parlimen tersebut. Boleh rujuk keputusan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang lebih mikro sifatnya dalam menganalisis keputusan pilihan raya.

Apabila pengundi Cina sudah beralih arah, maka PAS begitu zahir terkesan hilang banyak undi.

Undi Cina beralih kepada siapa?

Ini bersifat 'alarm bell' kepada pembangkang kerana pengundi Cina sudah mula kembali kepada BN, dan selebihnya mengundi PAN-PH.

Risiko besar menanti di Selangor menjelang PRU14 kerana kelihatannya BN mampu memberi saingan untuk merampas kembali kerajaan daripada gabungan PH-PAS.

Undi Melayu persaingan antara siapa?

Jelas, apabila melihat keputusan semalam mengikut PDM, persaingan kekal tradisi antara Umno dan PAS di kawasan Melayu. PAN gagal mengganti PAS untuk mendapat undi Melayu.

Bagaimana PAS boleh tercorot di Sungai Besar tetapi no.2 di Kuala Kangsar?

Kerana di Sungai Besar adanya 33% jumlah pengundi kaum Cina manakala di Kuala Kangsar, pengundi kaum Cina tidak seramai itu.

Di Sungai Besar, ada Dun Sekincan yang merupakan kubu kuat DAP yang berjaya menjadi penyelamat kepada PAN di situ.

Kesimpulannya, PAS hilang begitu banyak undi dari kaum Cina manakala PAN begitu bergantung kepada pengundi Cina, dan gagal dapat undi Melayu.

Percaturan menjelang PRU14, pembangkang perlu bermuhasabah jika serius untuk mengalahkan Barisan Nasional.

PAS perlu berusaha lebih gigih untuk menambahkan sokongan daripada undi Melayu dan Cina jika mahu menang di kerusi yang ditandingi. - HARAKAHDAILY 19/6/2016

Share on Myspace