PAS cadang pusat tubuh segera universiti di Kelantan

HARAKAHDAILY | .

PAS CADANG KERAJAAN PUSAT TUBUHKAN SEGERA UNIVERSITI DI KELANTAN (20 JUN 1995)

PADA hari ini dalam tahun 1995, Ahli Parlimen PAS Kawasan Tumpat, Ustaz Wan Mohd Jamil Wan Mahmood telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan universiti di Kelantan untuk meningkatkan kemudahan pendidikan tinggi di negeri yang diperintah oleh PAS itu.

Ustaz Wan Mohd Jamil membangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Pertama Parlimen Pertama Penggal Kesembilan Dewan Rakyat. Beliau mengemukakan soalan bertulis kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tentang status universiti yang dijanjikan oleh BN dan tapak universiti yang telah diluluskan sejak lebih 10 tahun lalu.

Isu penubuhan universiti di Kelantan telah berbangkit semula semasa kempen Pilihan Raya Umum 1995 dalam usaha BN menawan semula Kelantan. Mereka menjadikan cadangan penubuhan universiti awam di Kelantan sebagai manifesto BN Kelantan, ekoran tindakan Kerajaan PAS Kelantan menubuhkan semula institusi pendidikan tinggi Islam, Maahad Dakwah wal Imamah pada 1 Jun 1994.

Cadangan penubuhan universiti di Kelantan telah menjadi isu sejak 1978 apabila BN mahu menawan Kelantan. Mereka telah berjanji untuk menubuhkan universiti di Kelantan jika dapat mengambil alih Kelantan dari PAS.

Walau bagaimanapun, setelah BN mengambil alih Kelantan pada 11 Mac 1978, Kerajaan BN hanya meluluskan pengambilalihan tapak universiti di Tangok, Bachok tanpa membina universiti tersebut. Sebaliknya, pada 1 April 1981, Kerajaan BN Kelantan telah menyerahkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan oleh Kerajaan PAS Kelantan pada Oktober 1965 kepada Universiti Malaya untuk dijadikan cawangan Akademi Pengajian Islam universiti tersebut.

Apabila PAS mengambil alih semula Kelantan pada 21 Oktober 1990, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Dakwah wal Imamah untuk menggantikan YPTIK.

Pada 1 Ogos 1999, Maahad Dakwah wal Imamah telah dinaikkan taraf dan dikenali sebagai Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kini KIAS merupakan sebuah pusat pendidikan tinggi Islam yang terkemuka setanding dengan YPTIK, sedangkan Universiti Malaya telah menjadikan bekas YPTIK sebagai Pra Akademi Pengajian Islam yang setaraf dengan pengajian matrikulasi atau asasi sahaja.

Dalam jawapan bertulis Menteri Pendidikan kepada Ahli Parlimen Tumpat pada 20 Jun 1995, Datuk Seri Mohd Najib telah memberi tahu Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Pusat tidak bercadang untuk menubuhkan universiti di Kelantan, walaupun Ustaz Wan Mohd Jamil telah membangkit tentang tapak universiti yang telah diluluskan sejak 10 tahun dahulu. Sebaliknya, Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa kerajaan akan memfokuskan untuk mengembangkan universiti-universiti awam sedia ada.

Jawapan Menteri Pendidikan ini jelas memperlihatkan pembohongan manifesto BN, sedangkan PAS terus berusaha memajukan KIAS untuk menjadi sebuah kolej universiti.

Menyedari tindakan progresif Kerajaan PAS Kelantan ini, bagi menjayakan usaha BN menguasai semula Kelantan selepas 2004, akhirnya pada 31 Mac 2006, Kerajaan Pusat telah mengumumkan penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membuktikan janji mereka.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
20 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace