Setinggi-tinggi penghargaan buat para petugas, pengundi

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH | .

Warga DMPM mengucapkan alhamdulillah syukur selesai sudah PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan selamatnya.

Jutaan terima kasih jua yang tidak terhingga kami ucapkan kepada seluruh pimpinan, petugas, penyokong, penyumbang, pengundi yang bertungkus lumus mahu melihat kemenangan PAS di kedua-dua Parlimen ini. Kepada Allah jualah kami serahkan sebaik-baik ganjaran dunia dan akhirat untuk dikurniakan-Nya.

Begitu juga kepada kedua-dua calon kita beserta ahli keluarganya, kami juga mengucapkan syabas di atas segala kesanggupan, pengorbanan dan kerjasama yang telah diberikan. Moga semuanya diganjari Allah dengan sebaik-baik balasan.

Mungkin kita merasa tidak gembira dengan keputusan zahir PRK ini, namun kita tetap meyakini firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: "Boleh jadi kamu bencikan sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu, tetapi ia tidak baik buatmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui".

Oleh itu marilah kita terus berusaha, berjuang dan berjihad dengan sebenar-sebenarnya. Kita terus memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dengan sebaik-sebaiknya. Insya Allah akan tiba masanya kita akan berjaya di dunia dan akhirat. - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace