BN beri laluan RUU 355, undi Cina bertambah!

AHMAD AMZAD HASHIM | .

MUKTAMAR lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin memaklumkan ahli PAS yang keluar parti pergi ke PAN cuma dalam 1 peratus.

PAN dalam usaha meyakinkan rakyat khususnya rakan-rakan mereka DAP dan PKR telah memperdaya mereka sehingga percaya kononnya PAS sudah lumpuh, baki yang tinggal dalam PAS cuma golongan pak lebai, tidak ramai. Konon ahli dan penyokong PAS majoriti sudah ikut PAN.

PRK Sarawak menunjukkan PAN tiada apa-apa. PAS pula mencatat prestasi lebih baik di beberapa DUN dengan angka ribuan undi.

PRK Sungai Besar, Selangor, walau kerajaan negeri dikuasai PKR, DAP dengan PAS cuma kelihatan diterima kerana terpaksa. Dalam pada Menteri Besar sendiri meminta pengundi undi PAN. Ternyata jumlah undi PAS cuma dipisah beberapa ratus undi sahaja berbanding gabungan jentera DAP, PKR, PAN dan pengaruh Tun Mahathir dan Muhyidin Yassin yang dikata punya berjuta tandatangan penyokong.

Di Kuala Kangsar. PAS bersendiri mengatasi DAP, PKR, PAN dan pengaruh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

Lebih menarik lagi dari jumlah undi yang diperolehi DAP, PKR, PAN, Tun M dan Muhyiddin, peratus yang besar disumbangkan oleh pengundi Cina. Undi Melayu cuma minoriti.

Ini mengesahkan semua game ini adalah grand design DAP untuk manfaat DAP.

PAS beroleh pertambahan undi Melayu. Tetapi terjejas teruk undi Cina. Ada foto kertas kiraan undi menunjukkan di satu kawasan majoriti Cina, PAS tidak langsung diundi (zero) oleh pengundi Cina. Orang PAS akan ingat itu sampai bila-bila.

Tetapi menariknya undi Cina juga dilihat banyak beralih ke BN.

Tulisan Timothy Heng dalam Free Malaysia Today ada benarnya.

PAN tidak beri apa apa nilai tambah kepada PH. Sebaliknya DAP dan PKR yang menanggung rugi.

PAS ternyata penyumbang sehingga 53 peratus undi dalam Pakatan Rakyat sebelum ini seperti rumusan Prof Agus dan penulis Timmy Say.

Menarik difikirkan. Umno/BN memberi laluan kepada RUU 355 berkait Mahkamah Syariah. Umumnya ramai bukan Islam masih anggap ia undang undang Hudud.

PAN, DAP, PKR memberi gambaran bukan Islam akan marah pada BN kerana beri laluan RUU355 dan akan protes dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan khususnya pengundi Cina akan undi PH.

Sebaliknya realiti yang berlaku adalah terbalik. Dengan ada isu RUU355, lebih ramai pengundi Cina undi BN!

Ini menunjukkan isu hudud bukanlah isu terlalu besar bagi masyarakat bukan Islam seperti cuba dipanaskan oleh DAP.

Kesejahteraan hidup, keamanan, ketenangan dan kematangan lebih dihargai pengundi. – HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace