PAS raih undi dengan dakwah, tidak janji habuan dunia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tagline PAS ialah "menyokong dan menegakkan Islam".

Justeru, PAS mengajak menunaikan solat, membayar zakat, menjauhkan zina, meninggalkan minum arak, menghadiri kuliah agama, menguatkuasakan hukum hudud dan qisas, ketelusan dalam pemerintahan, memerangi rasuah dan lain-lain.

"Semua kerja di atas adalah kerja mulia. Pada lojiknya semua kerja itu mesti orang suka dan boleh dapat sokongan ramai. Tetapi lojik ini meleset," kata Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Rizuan Rahmat.

Ini, katanya kerana tidak semua orang suka perkara baik.

Buktinya, kata beliau biarpun Rasulullah SAW digelar al-amin, tetapi apabila baginda mengajak kepada perkara baik, ramai yang tidak suka.

Malahan, jelas beliau pemimpin Quraisy merancang membunuh baginda.

"Para rasul yang lain pun menerima cabaran yang sama. Ada para rasul yang berjaya mengalahkan pemerintah di zamannya, dan ramai yang tidak," katanya lagi.

Ini, ujarnya bermakna usaha itu lebih penting kerana hidayah adalah milik Allah.

PAS, kata beliau menjalankan usaha dakwah dalam jalur politik dan PAS tidak menyogok pengundi dengan kebendaan dan menjanjikan habuan dunia.

"Adalah bagi sikit-sikit, tetapi itu diambil dari poket ahli-ahli PAS. Tak percaya, tanyalah ahli PAS dan lihatlah laporan kewangan cawangan PAS," katanya.
 
Menurutnya, PAS mendekati pengundi dengan cara mengajak mereka kepada mengikut ajaran Islam, bukan dengan menjamu mereka dengan habuan kebendaan.

"Ini usaha dakwah dan kerja ini sangat mencabar. Jangankan nak ubah orang lain, nak ubah diri sendiri pun berat.

"Sewaktu sedap tidur, tiba-tiba azan Subuh berbunyi, 'nak bangun solat berjemaah, berat ke mudah aja'.

"Inilah usaha dakwah yang PAS usahakan," ujar beliau.

Justeru, beliau menggesa supaya terus menjalankan usaha dakwah itu.

"Allah menilai hasil kerjamu. Semoga berjaya," katanya. - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace