Politik PAS realistik, politik PH plastik

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Kelihatan ramai yang terkejut dengan keputusan PRK lepas. Seolah-olah tidak menjangka keputusan yang diperolehi akan menjadi seperti ini terutama dari rakan-rakan pembangkang.

Ini boleh dilihat dari kenyataan kebanyakan pimpinan DAP, PKR dan PAN. Rata-rata mengeluh kecewa tidak percaya. Ada yang menyalahkan pengundi, ada yang sugul membisu, ada yang berubah wajah serta merta dan ada juga yang terus menyalahkan PAS!

Apa yang dapat dilihat, fenomena u-turn beramai-ramai telah berlaku. Sebelum pilihan raya, kenyataan yang dikeluarkan sangat bongkak dan yakin. Berbangga dengan sokongan Tun M. Bermegah dengan kehadiran ceramah yang ramai dari kalangan Tionghua. Malah ahli akademik turut menjangka besar kelebihan buat PH dan nasib malang buat PAS.

Tetapi apabila keluar keputusan, mereka u-turn 180 darjah. Tiba-tiba sahaja berubah jadi baik, rendah diri dan penuh suci! Mula bercakap soal perpaduan, seruan membuang ego, dan memujuk PAS kembali bersama koalisi. Hilang segala bongkak dan sombong selama ini.

Di sebelah PAS pula, keadaan yang berbeza dilihat. Pimpinannya sedikitpun tidak terkejut seolah-olah sudah menjangka keputusan ini. Dari awal lagi Presiden PAS menunjukkn isyarat apa akan berlaku usai PRK kali ini. Perkara ini boleh dilihat melalui kenyataan Presiden pada Seminar Penerangan PAS Pusat 22 Mei yang lalu lagi:

“Insya Allah kita akan tunjukkan satu eksesais yang baik dalam isu Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Eksesais bagaimana kita berpolitik, kita boleh bercatur politik dengan pihak lain, jangan main-main dengan pihak kita. Menang kalah perkara lain, pasang surut dalam perjuangan itu biasa, kita yakin bahawa kita makin maju insya-Allah.
 
“Sebaik eksesais untuk pilihan raya yang akan datang, yang lebih memberi peluang kepada parti kita insya-Allah untuk menunaikan tanggung jawab menyelamatkan negara dan ummat semuanya, Islam adalah penyelamat kepada Malaysia dan rakyat masyarakat majmuk,” ujarnya pada Seminar Khas Penerangan di Muzium Sultan Alam Shah, di sini semalam.
 
Nyata keputusan PRK ini benar-benar terjadi sebagaimana yang disebut Presiden PAS. Orang mula menyedari kekuatan PAS. Orang mula bercakap soal masa depan pada PRU14. Orang yang selama ini memperlekeh mula gerun akan keberadaan PAS di arena ini. Sememangnya keputusan ini mengikut catur strategi PAS.

Apa yang ingin diberitahu, rupa-rupanya keupayaan PH dalam membaca politik tanah air begitu lemah sekali. Segala dakwaan sebagai profesional, progresif, idealistik, pakar dan sebagainya hanya sedap di telinga. Hakikatnya mereka tak mampu pun untuk berhadapan dengan gelora politik negara yang bukanlah besar manapun ini.

Saya masih ingat ketika ditanya berapakah anggaran kerusi yang berjaya dimenangi dalam PRN Sarawak, PAS menjawab kami bertanding 11 dan menjangka akan menang 1 kerusi. Tetapi bila ditanya PAN, mereka kata bertanding 13 dan dengan yakin menjawab, "kami yakin menang semua!". Ulas pemerhati politik, nyata PAS lebih realistik sedangkan PAN terlalu idealistik.

Selama ini mereka hanyalah menggunakan budaya politik-pop untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka hebat. Dicanang dalam media-media kononnya mendapat sokongan hebat rakyat. Dibantu cybertrooper yang menyebar berbagai persepsi menggambarkan kekuatan mereka. Pendekatan populis sebegini tidak membawa apa-apa makna apabila berhadapan real politik. Apa sebenarnya berlegar di peringkat akar umbi rakyat, mereka tak tahu apa-apa!

Namun begitu, sikap mereka terkenal tetap tidak mahu mengaku salah walaupun sudah terbukti silap. Seawal isu 16 September, isu UG, keputusan PRU13, isu MB Selangor, hinggalah isu guling Najib, tekaan politik mereka tetap tidak mampu menyaingi ijtihad politik Majlis Syura Ulamak PAS. Tetapi mereka masih sombong tidak tahu akur dan dengar nasihat.

Kali ini mereka ajak PAS bergabung kembali. Saya cadangkan PAS letak prasyarat ketat dan tegas sebagai mukaddimah. Kalau benar mahu bergabung, lantik PAS sahaja sebagai pengerusi pakatan. Biarlah pakatan ini ada ketuanya. Biar PAS ajar mereka cara berpolitik. Mereka ikut sahaja kalau mahu pembangkang berkuasa. Buat sahaja apa PAS minta.

Kalau prasyarat tidak dipersetujui, ucapkan selamat tinggal sahaja kepada pakatan itu. PAS tidak akan rugi sedikitpun kerana banyak lagi agenda rakyat yang sedang diusahakan PAS. Gerak kerja PAS tidak hanya menumpu kepada pilihan raya dan kuasa sahaja. Agenda tarbiah, dakwah, memartabat syariah Islam, menjaga kebajikan tetap berjalan walaupun PRU belum menunjukkan tanda-tanda.

Pesan kepada PH, belajarlah untuk jadi realistik lebih dari idealistik. Rakyat sudah muak dengan taktik-taktik politik bodoh seperti 16 September, Langkah Kajang dan Blackout yang hanya menyusahkan negara. Berpolitiklah untuk rakyat, bukan untuk jawatan dan habuan diri sahaja. - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace