Separuh kekuatan Selangor ada pada PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang perlu membuang sikap sombong mereka jika ingin terus mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Selangor selepas PRU14 nanti, demikian menurut Adun Sabak, Sallehen Mukhyi.

"Bagi saya semua pihak jangan sombong dengan kekuatan mereka kerana mereka semua sudah tidak ada kekuatan, DAP pun hilang kekuatan, PKR pun, PAN lagi tidak ada kekuatan dari sudut undi orang," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah tengah hari di pejabat Harakah, hari ini.

Beliau yang sangat cenderung kepada soal gabungan ketiga-tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP dengan mengambil dan menukar sistem tetapi ia tertakluk kepada sejauh mana mereka kembali kepada semangat asal Pakatan Rakyat.

Ini bermakna, katanya, DAP perlu menyedari akan kesilapannya dan PAS haruslah menjelaskan dengan betul kepada DAP dalam masa yang sama PKR wajar mengakui bahawa mereka tidak ada kekuatan tanpa PAS.

"Kalau DAP meneruskan cara layanan kepada PAS sebagaimana tidak bersetuju dengan PAS dalam beberapa perkara sedangkan itu tidak termasuk dalam permulaan ketika kita bina Pakatan Rakyat, tidak perlu besar-besarkan sangat kita perlu hormati prinsip DAP sebagai parti demokratik dan DAP pula kena kena hormat prinsip Islam yang PAS bawa," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar yang baru sahaja selesai pada 18 Jun lalu.

Selepas PRK Sungai Besar ini, katanya, perkara paling penting adalah fasa pengukuhan Pakatan Rakyat iaitu masing-masing perlu menyedari bahawa mereka saling memerlukan antara satu dengan yang lain.

"DAP sudah sedar dia tidak boleh menang, bukan sahaja DAP, Pakatan Harapan sendiri pun tidak boleh menang sebab separuh kekuatan Selangor ada pada PAS dan separuhnya ada pada Pakatan Harapan," katanya yang pernah bertanding di Sungai Besar pada tahun 2004.

Ini kerana jelas beliau, banyak kawasan yang mempunyai komposisi pengundi seperti di Sungai Besar iaitu 30 ke 40 peratus adalah pengundi Cina.

"Jika dilihat komposisi seperti ini, maknanya DAP nyawa-nyawa ikan, PKR tidak boleh menang PAS pun tidak boleh menang," ujarnya.

Justeru, katanya PAS, PKR dan DAP perlu memberi fokus bagaimana hendak membina semula Pakatan Rakyat jika mereka mahu mengekalkan legasi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sudah dibina selama ini.

PRK Sungai Besar telah menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PAS, PAN dan BN. PAS yang bersendirian telah mendapat 6,902 undi manakala PAN mendapat 7,609 undi dan BN mendapat 16,800 undi. - HARAKAHDAILY 20/6/2016

Share on Myspace