KWSP adalah cukai yang haram dan zalim?

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

APABILA saya menyebut RM10,000 premium untuk setiap kereta yang dibayar oleh setiap pembeli kereta di negara ini adalah cukai yang zalim, mesti akan ada yang menegurnya.

Jika saya menyebut: "KWSP adalah cukai yang haram yang dikenakan oleh kerajaan ke atas rakyat dan syarikat swasta secara zalim". Lebih pasti akan ada yang akan menegurnya.

Kenapa akan ditegur? Kerana di dalam konteks ekonomi konvensional Premium tidak termasuk di dalam "Tax Revenue" menurut istilah perakaunan negara. Apatah lagi KWSP juga tidak dianggap sebagai cukai kerana ia adalah tabungan wang simpanan pekerja.

Tahukah anda, di dalam istilah Islam, setiap wang diambil oleh kerajaan secara paksa tanpa kerelaan rakyat diistilah sebagai cukai yang haram? Cuma cukai dalam konteks konvensional diterjemahkan daripada perkataan Tax dalam bahasa Inggeris. Tetapi cukai dalam konteks Islam diterjemahkan daripada perkataan Al-Maks daripada bahasa arab. Imam Nawawi mendefinisikan Al-Maks yang dianggap dosa besar di dalam hadis nabi SAW sebagai:

أَنَّ الْمَكْس مِنْ أَقْبَح الْمَعَاصِي وَالذُّنُوب الْمُوبِقَات ، وَذَلِكَ لِكَثْرَةِ مُطَالَبَات النَّاس لَهُ وَظِلَامَاتهمْ عِنْده ، وَتَكَرُّر ذَلِكَ مِنْهُ وَانْتِهَاكه لِلنَّاسِ وَأَخْذ أَمْوَالهمْ بِغَيْرِ حَقّهَا وَصَرْفهَا فِي غَيْر وَجْههَا

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Maks (cukai al-maks) adalah seburuk-buruk maksiat dan dosa yang merosakkan. Ini disebabkan ia menuntut orang ramai (membayarnya) secara berleluasa, menzalimi mereka, berulang-ulang, mencabuli (hak) orang ramai, mengambil harta mereka tanpa hak serta membelanjakannya dijalan yang tidak sepatutnya.

Ia sama seperti perkataan agama, jika ia diterjemah daripada perkataan religion dalam Inggeris, maka ia bermakna adat istiadat kerohanian. Dalam konteks ini, maka ekonomi tidak dianggap sebagai urusan agama. Jika ia diterjemah daripada perkataan Ad-Din dalam bahasa arab, maka ia bermakna cara hidup. Dalam konteks ini, maka ekonomi dianggap sebagai urusan agama.

Ia bukan soal betul atau salah. Bagi saya kedua-dua betul dari segi pengistilahan dan definisi. Tetapi isunya ialah attitude (kedudukan kita berfikir) kita berfikir sehingga membawa kesan wajar atau tidak.

Seperti contoh negara Arab. Jika orang barat atau orang putih akan memanggilnya sebagai timur tengah manakala orang asia pula akan memanggil ia sebagai asia barat. Kedua-dua istilah timur tengah dan asia barat adalah betul kerana bagi orang barat, negara arab berada ditimur mereka, maka mereka memanggilnya sebagai TIMUR Tengah.

Manakala bagi orang Asia pula, negara-negara arab berada di barat mereka, maka mereka memanggilya sebagai Asia BARAT. Yang salahnya ialah apabila anda berada di Barat anda menyebut negara-negara yang berada di sebelah "barat kita". Atau apabila anda berada di Asia anda menyebut negara-negara yang berada di sebelah "timur kita".

Sama juga pengistilah cukai, apabila kita bercakap dalam konteks akaun konvensional atau dalam konteks belanjawan negara serta pendapatan kerajaan, maka adalah salah apabila kita menyebut premium dan KWSP adalah cukai.

Tetapi apabila kita bercakap dari konteks hukum dan pandangan syariat, maka adalah tepat apabila kita berkata KWSP dan premium kereta adalah cukai yang zalim.

Sama juga, di sana ada dalam pengistilahan moden dinamakan cukai tetapi di dalam Islam ia tidak dinamakan cukai seperti cukai pintu. Cuma pengurusannya perlu lebih bertepatan dengan garis panduan muamalat Islam supaya cukai pintu bertepatan dengan kehendak syariat.

Maka, anda jangan keliru jika saya bahaskan nanti KWSP adalah cukai yang haram dan zalim menurut perspektif Islam. – HARAKAHDAILY 21/6/2016

Share on Myspace