PH degil, kita tunggu PRU14 nanti

HARAKAHDAILY | .

PKR sekali lagi cuba menunjukkan taringnya yang mana sebenarnya hanya gigi susu dengan kenyataan terbaharu Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang begitu selamba mendakwa kedegilan PAS adalah faktor penyebab PKR tidak dapat bertanding di PRK Sungai Besar dan beliau dengan begitu yakin (walaupun yakin itu dibuat-buat) mengatakan keputusan akan berubah jika PAS tidak bertanding dan memberikan laluan kepada PKR.

Dengan nada yang cuba menunjukkan PKR sangat komited dalam perundingan, dia mendakwa, PKR telah berusaha berunding sehingga ke saat akhir bagi menduduki kerusi itu daripada PAS.

Umum mengetahui yang kedua-dua kerusi itu ialah kerusi PAS. Oleh itu, jika benar PKR sememangnya komited dengan perundingan, maka seharusnya dia tidak perlu merengek-rengek kemudiannya cuba membelasah rakan rundingannya. Tetapi seharusnya PKR menjadi seorang yang mempunyai maruah dengan tidak mengacau hak orang lain. Apatah lagi hak itu hak rakannya. PKR mungkin lupa bagaimana mahu menjadi seorang yang mempunyai maruah dan seharusnya belajar daripada beradabnya PAS.

Kedegilan PKR dalam hal ini terserlah apabila mereka dengan silapnya mempercayai PAN akan dapat menggantikan PAS, maka dengan rasminya, mereka menyokong PAN yang kemudiannya nyata hanya menumpang undi DAP dan PKR, tanpa berjaya mengambil undi PAS di kedua-dua PRK itu.

PAS sudah masak dengan perangai PAN yang lahir dari perasaan tidak puas hati kerana kalah pemilihan, maka PAS langsung tidak merasa pelik apabila harapan palsu diberikan oleh PAN kepada Pakatan Harapan itu. Bukan hanya PKR, DAP juga dengan angkuhnya bermain dengan sensitiviti agama, sedangkan dalam masa yang sama, mereka marahkan orang lain bermain dengan isu agama dan perkauman.

Ini semua adalah lahir daripada perasaan mahu membunuh PAS, tetapi tidak sedar diri akan kekuatan sendiri. Tiada isu kedegilan PAS untuk bertanding kerana PAS hanya mempertahankan kerusi turun temurun PAS. Kita tunggu PRU14 nanti, adakah PKR akan mengorbankan kerusinya untuk PAN atau tidak. Jika tidak, mereka sememangnya hanya cuba memburuk-burukkan PAS sahaja, sedangkan hakikatnya, mereka sendiripun tidak mahu berkongsipun dengan apa yang mereka gelar rakan baharu mereka, PAN.

PAS tetap bermaruah, walaupun dihina, ditikam dari kawan dan lawan. PAS sedar, harga bagi memperjuangkan agama Allah sangat tinggi nilainya dan sangat berliku jalannya. PAS tetap dengan PAS, biar syahid ataupun kemenangan. Kita tidak terikut-ikut ketamakan manusia insya Allah. Buktinya,  mereka yang tamak dengan kuasa, akhirnya terpelanting keluar daripada PAS.

Wallahua’lam

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
16 Ramadhan 1437 / 21 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 21/6/2016

Share on Myspace