Kita kalah, musuh juga kalah dan akan kalah

NASRUDIN HASSAN | .

Ramadhan Al Mubarak mengajar kita erti payah dan sukar. Rasa lapar, dahaga, letih dan 1001 pantang larang di bulan Ramadhan ini sebenarnya mendidik jiwa menjadi kental dan sabar menghadapi kesusahan hidup sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah swt.

Antara kepayahan dan kesukaran dalam hidup seorang muslim ialah menghadapi musuh Islam dengan segala rencana jahat dan tipu helah mereka yang licik.

Tidak mudah untuk menghalang provokasi dan propaganda mereka, apatah lagi untuk menang mengatasi kekuatan mereka.

Namun bukanlah mereka tidak boleh tewas cuma tidak mudah untuk kita menang. Ini sebetulnya adalah sunnatullah.

Contoh mudah ialah isu pembukaan Kota Konstantinopel yang dianggap sebagai kubu terkuat kerajaan Rom Timur yang berkuasa 11 abad lamanya. Telah diusahakan sejak zaman para sahabat Rhm tetapi hanya berjaya di zaman Sultan Muhammad Al Fateh (sultan ke-7 dari hiraki Khilafah Uthmaniyah) pada tanggal 20 Jamadil Awal 857 bersamaan dengan 29 Mei 1453.

Nabi SAW pernah bersabda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Akan dibuka kota Qustantiniyah (Konstantinopel) maka sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang berjaya membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera yang membukanya. (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Al Hakim dalam Al Mustadrak)

Inilah sunnah orang berjuang. Payah, tewas dan sakit adalah perkara biasa. Namun pejuang tidakkan pernah luntur semangat apatah lagi kecewa. Justeru perjuangan ini suci dan benar.

Kita kalah, musuh juga pernah kalah dan akan kalah. Kita sakit, mereka juga sakit. Membezakan kita dengan mereka ialah, keredhaan Allah swt, suatu yang selalu mereka persendakan seolah-olah lekeh dan hinanya orang yang berjuang mengharapkan redha Allah swt.

Perhatikan firman Allah swt:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan janganlah kamu rasa hina dalam mendepani musuh itu; jika sekiranya kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit sebagaimana kamu berasa sakit, sedang kamu mengharapkan dari Allah swt apa yang mereka tidak harapkan (iaitu keredhaan Allah swt dengan balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah An Nisa': 104)

Share on Myspace