Tewas PRK: PAS tidak undur walau selangkah

DR AHMAD YUNUS HAIRI | .

FIRMAN Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat ke 160:

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal.”

Bahang Pilihan Raya Kecil Parlimen 093 Sungai Besar, Selangor telah berakhir pada tanggal 18 Jun 2016 lalu dengan kemenangan kerusi yang direbutkan itu kekal kepada parti Umno yang mewakili Barisan Nasional yang mengenepikan calon parti PAS dan Amanah.

Parti PAS menghormati keputusan rakyat untuk mengekalkan penguasaan Barisan Nasional di kerusi tersebut namun dalam masa yang sama PAS akan tetap sentiasa berusaha untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Parlimen Sungai Besar secara berhemah dan profesional supaya dapat menyokong calon PAS di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Sedia maklum, PAS memasuki PRK Sungai Besar secara ‘underdog’, parti yang bukan pilihan kerana berseorangan, PAS ditohmah tidak mempunyai semangat setiakawan, tidak boleh dibawa berunding dan segala macam tohmahan negatif dilemparkan kepada PAS sedangkan PAS hanya ingin meneruskan kesinambungan perjuangan PAS di kerusi yang pernah PAS tandingi sebelum daripada PRK kali ini.

PAS telah mempunyai sejarah perjuangan politik di dalam negara ini selama lebih 62 tahun dan selayaknya PAS mendapat sewajarnya daripada blok parti-parti pembangkang di dalam usaha untuk menjatuhkan Umno Barisan Nasional daripada tampuk pemerintahan Negara.

Saya berasa sangat kecewa apabila kalangan pimpinan yang sebelum ini pernah bersusah payah berjuang di dalam PAS akhirnya terpaksa bersilat lidah dengan ucapan-ucapan mereka bagi memburuk-burukkan PAS di atas pentas ceramah Amanah dengan hasrat untuk menarik undi ahli-ahli ‘hardcore’ PAS bagi mengundi calon mereka.

Betapa rasa terhinanya apabila orang-orang yang pernah berjasa ini akhirnya ditempelak dan dicemuh kerana meninggalkan perjuangan gerakan Islam yang diterajui olah PAS.

Walaupun keputusan PRK Sungai Besar ini sedikit mengecewakan namun PAS sebagai sebuah parti politik yang ‘senior’ di dalam negara ini tidak akan berundur ke belakang walau selangkah untuk menagih simpati daripada blok parti pembangkang yang diberi nama baru ‘Pakatan Harapan’.

PAS akan tetap istiqamah meneruskan agenda memperbaiki kerosakan negara ini dengan pendekatan yang lebih menarik dan menyakinkan iaitulah “Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS)” sepertimana yang digagaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS pada Muktamar PAS yang lalu.

PAS Selangor akan mengaplikasikan gagasan ini secara bersungguh-sungguh di dalam gerakerja dan tindakan bersepadu semua jentera parti PAS Selangor di semua peringkat.

Inilah penyelesaian kita kepada rakyat supaya dapat memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada PAS dan Kuasa Ketiga bagi menjatuhkan Barisan Nasional daripada tampuk pemerintahan negara.

Saya mengambil kesempatan ini bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pimpinan PAS Pusat yang telah memberikan kerjasama kepada kami di dalam mengharungi kecelaruan politik di negeri Selangor dan juga di dalam PRK Sungai Besar.

Tidak lupa juga ribuan terima kasih kepada Dr. Abdul Rani Osman, Adun Meru yang memikul tanggungjawab berat sebagai calon PAS untuk PRK Sungai Besar walaupun dicemuh, difitnah dan dimehnah, beliau tetap dengan politik matang sejahtera menyantuni masyarakat setempat dan pimpinan parti lawan.

Akhirnya saya merakamkan jutaan terima kasih kepada petugas-petugas serta sukarelawan PAS yang telah hadir dari seluruh kawasan di dalam negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang yang telah berkorban usaha, tenaga, keringat dan juga nyawa bagi mempastikan kemenangan PAS di dalam PRK Sungai Besar.

Jasa pengorbanan tuan-puan amatlah dihargai dan didoakan semoga semuanya diganjari dengan ganjaran yang selayaknya daripada Allah SWT Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 21/6/2016

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor

Share on Myspace