PRK: Prestasi PAS kekal ketika bergolak

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Biar pun tewas di Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu namun PAS masih mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan terbabit.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan berlaku perpecahan dalaman pada muktamar tahun lepas.

Katanya ketika masih berdepan dengan suasana itu, PAS masih mendapat undi yang masih lagi kuat dan tidak mengalami perbezaan yang begitu ketara berbanding Pilihan Raya Umum ke-13.

"PAS secara umum tidak terjejas dengan pergolakan dalaman dan kewujudan PAN. Bagi kita ia satu kejayaan kepada PAS," katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih besar.

Di Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan PAN Dr Ahmad Tarmizi Ramli.

Di Sungai Besar pula Budiman Mohd Zohdi mendapat majoriti 9,191 undi. PAS diwakili Dr Rani Osman, PAN pula Azhar Abdul Shukur.

Oleh itu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata pembangkang perlu terbuka menerima kekalahan dan tidak seharusnya menyalahkan pengundi. – HARAKAHDAILY 21/6/2016

Share on Myspace