PKR lebih untung sertai blok PAS, ambil kerusi DAP

AHMAD AMZAD HASHIM | .

Pada pendapat saya parti DAP tidak akan lagi diterima oleh orang-orang Islam khususnya Melayu.

Ramai pengundi Cina telah mula berkira, tanpa pengundi Melayu, DAP akan kembali terpencil seperti dahulu. Tidak boleh menang.

Gaya angkuh, gopoh, memfitnah PAS beserta kaum ulama malah memperlekeh hukum Islam adalah sangat sensitif dan hanya menyebabkan orang Melayu menjadi marah pada DAP.

Yang menjadi mangsa adalah kaum Cina yang mula renggang dari orang Melayu. Orang Melayu mula berprasangka kaum Cina sedang bernafsu mahu mengatur langkah mengawal dan menguasai kesemuanya di Tanah Melayu. Semua angkara politik berpenyakit yang dipelopori DAP.

Kaum Cina mendapat tempias dari perbuatan DAP.

Ia tidak baik untuk hubungan antara kaum. Ia boleh menjejaskan perniagaan.

Kerana itu ramai mula kembali mengundi BN seperti di PRN Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Itu sebelum kaum Cina menjadi jelas, bahawa dongeng kononnya PAS sudah lemah, sudah tiada penyokong. Sekarang mereka tahu sehingga 53.8% undi menentang BN datang dari pengundi PAS.

Jadi apa jadahnya dakyah konon PAS ini mahu UG dengan Umno? PAS bersendiri lebih kuat undian lawan Umno berbanding gabungan 3 parti dan pengaruh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

Usah harap PAS kembali bermesra dengan DAP. Mustahil boleh berlaku dalam setahun dua melainkan ada keajaiban. Bukan senang memperbaiki dan menjelaskan kepada ahli dan penyokong. Kepada rakyat lebih lebih lagi.

Saya tengok kaum bukan Melayu perlukan parti yang boleh berhubung dengan PAS jika mahu jayakan agenda menyatukan undi pembangkang.

Mungkin.

Saya kata mungkin satu langkah yang munasabah jika PKR putuskan saja hubungan dengan DAP.

Sertai blok ketiga yang diterajui PAS yang memberi mesej gabungan parti-parti yang mencabar BN masih tidak menolak struktur majmuk rakyat Malaysia yang orang Melayu Islam menjadi terasnya.

Itu lebih mudah diterima rakyat Malaysia yang 63% beragama Islam.

Rundingkan semula kerusi-kerusi yang ditandingi DAP. PAS boleh beri undi Melayu yang besar kepada calon PKR yang bertanding di kerusi DAP.

Jangan lupa peruntukan sejumlah kerusi yang munasabah untuk DHPP bertanding juga.

Kaum bukan Melayu dalam PKR seperti Tian Chua dilihat lebih rasional dan berpijak ke bumi dalam soal hubungan antara kaum. Saya fikir bukan Melayu yang berada dalam PKR adalah mewakili kelompok yang beraliran sederhana. Ia boleh jadi sepertinya MCA dan Gerakan di dalam BN.

PAS rasanya lebih mudah menerima begitu. - HARAKAHDAILY 22/6/2016

Share on Myspace