Tahniah KWSP, DUPNS gesa pilih persaraan patuh syariah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Selangor (DUPNS) berbesar hati dengan keputusan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hasil desakan para sarjana Islam dan permintaan masyarakat Islam agar simpanan persaraan pekerja diurus mengikut prinsip Islam.

"Keputusan ini dapat mengelak dari orang terlibat dengan perkara riba dan amalan yang tidak patuh syariah," ujar Ketua DUPNS, Ustaz Rizuan Rahmat dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahtil Ridza Ridzuan, keputusan ini melibatkan RM100 bilion atau 15% dari keseluruhan dana KWSP yang bernilai RM681 bilion dan ia adalah langkah awal untuk usaha mengembangkan lagi simpanan yang yang berteraskan syariah ini.

Justeru, kata Ustaz Rizuan, DUPNS berharap usaha dapat ditingkatkan lagi agar pada masa akan datang dana KWSP ini diurus hampir sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip syariah.

Rentetan dari itu, katanya DUPNS menggesa para pekerja dan penyimpan wang dalam KWSP agar mengubah opsyen simpanan mereka ke Simpanan Syariah dengan pergi sendiri ke kaunter KWSP berhampiran dengan membawa kad pengenalan.

Sekali lagi, kata beliau DUPNS mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha yang murni ini.

"Semoga ia dimasukkan dalam amal kebajikan, apatah lagi dalam bulan Ramadan ini," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 22/6/2016

Share on Myspace