13,589 peneroka Felda dinafikan duit raya

HARAKAHDAILY | .

Mereka semua terdiri dari 'usahawan' peneroka Felda yang berusaha menguruskan sendiri kebun mereka, sepatutnya mereka ini dianugerahkan peneroka berdikari dengan pelbagai bantuan galakan.

Namun berlaku sebaliknya. Adalah amat malang kerajaan Barisan Nasional menghukum peneroka Felda yang berdikari ini.

Perdana Menteri telah mengumumkan 99,046 peneroka dapat duit raya sebanyak RM500 seorang sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan yang melibatkan RM49.52 juta.

Beliau membuat pengumuman ini ketika berucap merasmikan program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda peringkat kebangsaan 2016 di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, Pekan, semalam.

Jumlah peneroka Felda berjumlah 112,635 orang, yang diumumkan hanya 99,046 dengan RM500 seorang. Jika penafian 13,589 peneroka Felda dari duit raya untuk tahun ini melibatkan RM6,794,500 satu tindakan yang tidak bertamadun dilakukan kerajaan terhadap sebahagian peneroka Felda ketika bersiap menyambut hari lebaran.

Sebelum ini kerajaan juga mengumunkan sumbangan kepada pemilik kebun getah dan juga yang mengambil upah menoreh sebanyak RM500. Kenapa peneroka yang berdikari ini tidak diberi? Mereka bukan penerokakah?

Kenapa kerajaan sanggup menafikan hak mereka? PATI pun dibenar balik ke negara asal mereka tanpa dikenakan tindakan untuk balik berhari raya bersama keluarga mereka walaupun masuk secara haram dan jelas melanggar peraturan negara.

Perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku ketika rakyat menghadapi keperitan hidup akibat kenaikan harga barangan harian kesan dari GST dan harga komuditi sawit dan getah yang tidak menentu.

Hasil tuaian peneroka juga sangat teruk dan tidak capai pengeluaran yang sepatutnya. Sewaktu peneroka Felda dicengkam kesulitan ini sewajarnya pihak kerajaan memperbanyakan bantuan, bukan menindas mereka.

Pihak Hal Ehwal Felda PAS Pusat merayu dan mendesak agar kerajaan membuat bayaran semula kepada 13,589 peneroka Felda yang mengusahakan sendiri kebun mereka ini agar mereka dapat sama-sama menyambut hari lebaran tanpa air mata penindasan.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
23 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 23/6/2016

Share on Myspace