Memperingati Almarhum Ustaz Fadzil Noor

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

SEMPENA 14 TAHUN PEMERGIAN (JUN 2002-JUN 2016)

"Islam sebagai satu Al-Din tidak dapat ditafsirkan dengan fikiran manusia. Dalam mentafsirkan makna Islam itu kita wajib berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta orang yang menghayati Al-Quran dan Al-Sunnah seperti para sahabat, Ulama-ulama dan juang para Tabi’in. Kita tidak melihat dan memahami cara Islam membentuk satu peradaban kemanusian seperti yang digambarkan oleh setengah orang. Islam juga bukanlah satu kebudayaan atau serpihan daripada kehidupan manusia, kalau kita melihat dan mengambil Islam dengan cara yang sedemikian, dapatlah diumpamakan seperti orang buta yang cuba mengenali seekor gajah. Bila dipegangnya ekor gajah itu dikatakan gajah itu seperti tali, apabila dipegang kaki gajah itu dikatakannya gajah itu seperti tiang dan apabila terpegangnya telinga gajah itu dikatakan gajah itu seperti dinding. Sedangkan tali, tiang dan dinding bukanlah gajah tetapi ia hanya sebahagian daripada anggota-anggota gajah itu." (Ustaz Fadzil Noor: 1992)

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ yang lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau.

Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini.

Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi. - HARAKAHDAILY 23/6/2016

Share on Myspace