Kelantan bersiap hadapi PRU14 lebih awal

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu memberi isyarat awal kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan lebih awal.

Mengambil kira faktor tersebut PAS Kelantan sentiasa memberi persiapan bagi menghadapi PRU pada bila-bila masa sahaja.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata PAS sentiasa membuat persiapan bagi menghadapi PRU tanpa mengira masa.

“Kita sentiasa membuat persiapan tanpa mengira pilihan raya diadakan awal atau tidak,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan selepas menyampaikan sumbangan kuih kepada pasukan keselamatan sempena Aidilfitri di Dewan Teratai hari ini.

Sebanyak 13 pasukan keselamatan dan penguatkuasaan termasuk yang berpangkalan di Kuantan menerima sumbangan kuih sumbangan kerajaan negeri.

Hadir sama pada program itu Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Kemenangan besar BN pada PRK baru-baru ini dilihat banyak pihak kemungkinan memberi petanda PRU ke-14 diadakan lebih awal.

Di Kuala Kangsar calon BN Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi, manakala Budiman Mohd Zohdi mendapat majoriti 9,191 undi di Sungai Besar.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pembangkang menghadapi kesukaran menghadapi BN kerana mempunyai kekuatan jentera kerajaan.

“Biar pun ada pihak mendakwa PAS lemah, namun pakatan pembangkang yang dianggotai tiga parti pun tidak mampu mengatasi kekuatan BN,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/6/2016

Share on Myspace