Kerja tiga syif bersih bandar Kota Bharu

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) terpaksa bekerja tiga syif bagi memastikan kebersihan kawasan bandar dapat dipertingkatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ada kakitangan bahagian kebersihan MPKB BRI terpaksa bekerja sehingga jam 3 dan 5 pagi.

Katanya pada musim cuti persekolahan baru-baru ini jumlah sampah dibuang orang ramai meningkat memandangkan ada antara mereka melakukan pembersihan rumah.

“Sehari dua ini tidak ada kedengaran ada longgokan sampah. Kita lakukan yang terbaik lebih-lebih lagi Tahun Melawat Kelantan tahun ini.

“Mulai minggu ini juga sampah dihantar di stesen sementara di Panji sebelum diangkut kontraktor dilantik ke pusat pelupusan di Beris Lalang, Bachok,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya juga sasaran untuk mencapai matlamat Kelantan bersih 2016 tergendala disebabkan banjir besar yang melanda pada akhir 2014.

Kata beliau banyak peruntukan digunakan bagi membersihkan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada kesan-kesan banjir.

Oleh itu katanya sasaran itu diperlewatkan kepada 2017.

Ditanya penyeragaman perkhidmatan pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora di MPKB BRI katanya, kerajaan negeri masih menunggu surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Katanya bagi fasa pertama hanya MPKB BRI dipersetujui untuk menggunakan perkhidmatan Alam Flora bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Sepatutnya perkhidmatan tersebut sudah dapat dilaksanakan sejak November 2015, namun kita masih lagi menunggu surat kelulusan daripada kementerian.

“Pinjaman bagi membeli lori-lori sampah baharu tidak lagi diberi kepada PBT memandangkan penyeragaman pengurusan sisa pepejal diurus Alam Flora,” katanya.

Beliau berkata Kelantan turut menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) dan dilaksana secara berperingkat di negeri tersebut. - HARAKAHDAILY 23/6/2016

Share on Myspace