Difteria dan vaksin: Ambil iktibar, perbetulkan sikap kita

HARAKAHDAILY | .

DPPM merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga adik Muhammad Haris Haikal (2 tahun) dan adik K. Durgasini (7 tahun) yang meninggal dunia akibat penyakit difteria. DPPM juga mendoakan agar adik-beradik mereka yang sedang dirawat di hospital juga segera sembuh.

Dua (2) insiden dalam tempoh terdekat di Sungai Petani, Kedah dan Ujong Pasir, Melaka ini sepatutnya menjadi satu iktibar yang besar buat rakyat Malaysia. Kejadian seumpama ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang berisiko tinggi dijangkiti, terutamanya bayi yang masih belum ada sistem pertahanan badan.

Berdasarkan laporan daripada Pengarah Kesihatan Malaysia, kesemua kes yang dikesan tersebut adalah tidak lengkap pemberian vaksin semasa usia bayi mereka. Ini mungkin faktor sosial dan kemudahcapaian perubatan dalam keluarga tersebut.

DPPM kesal kerana terdapat golongan anti vaksin yang menghasut masyarakat agar tidak mengambil vaksin dengan alasan yang tidak konkrit dan tidak berteraskan kajian saintifik. Akibatnya ramai dalam kalangan ibu bapa mula menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka.

Islam mengharuskan penggunaan vaksin sekalipun ia mengandungi bahan terlarang jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik. Sebenarnya, pada masa ini tiada pun bahan terlarang dalam vaksin kanak-kanak kecuali vaksin untuk rotavirus; itupun tidak tersenarai dalam  jadual imunisasi yang dikeluarkan oleh KKM.

Pemberian vaksin juga bertepatan dengan maqasid syar’iyyah; khususnya pada aspek hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa). Kita disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dalam kehidupan seharian kita.

Jika sesuatu boleh mendatangkan mudarat maka perlu ditinggalkan. Begitu juga apabila sesuatu bahan itu jika tidak digunakan yang akan mengakibatkan kemudaratan pada nyawa serta tubuh, maka wajib kita mengambilnya walaupun ia mengandungi unsur yang meragukan.

Terdapat sebuah kaedah masyhur yang telah disebutkan oleh para ulama feqh iaitu  الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات “keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang” (Rujuk al-Asybah wal-Nazhoir, Ibn Nujaim. Hlm. 85).

Pemberian vaksin ini telah disarankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1998 lagi. Malah ia juga turut disokong oleh para alim ulama muktabar seluruh dunia seperti Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi, al-Syeikh Dr. Ali Jumaah, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan juga badan berwibawa seperti Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dan  Majma’ al-Feqh al-Islami.

DPPM berpandangan  masyarakat  perlu mengguna pakai pandangan golongan pakar dalam bidang perubatan dalam membuat keputusan berkaitan pemberian vaksin. Firman Allah s.w.t. :

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

“Maka, tanyalah kepada orang yang ahli jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl : 43)

DPPM juga menggesa pihak Kerajaan agar terus memberikan penerangan kepada masyarakat bagi menghilangkan salah tanggap dan menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan vaksin ini.

Jika perlu, tindakan yang lebih tegas mesti dilaksanakan bagi memastikan ibu bapa tidak melepaskan diri daripada mengambil vaksin untuk anak-anak mereka.

Kerajaan juga perlu memberikan perhatian serius kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik dengan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan mereka tidak termasuk dalam kumpulan yang tertinggal vaksinasi.

DR. MOHD IBRAHIM
Pengarah,
Jabatan Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar DPPM. – HARAKAHDAILY 24/6/2016

Share on Myspace