Ikatan gesa BN segera tunai janji PRK

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Dewan Majlis Ikatan Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman menggesa agar Barisan Nasional (BN) menunaikan segala janji yang telah dinyatakan pada Pilihan Raya Kecil (Prk) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, setiap yang dijanjikan pada PRK tersebut bukannya janji palsu sebaliknya janji yang perlu dilaksanakan.

"Tiba masa BN menunaikan kesemua janji yang mereka nyatakan pada pilihan raya yang lepas.

"Pengundi inginkan segala kemudahan yang mereka janjikan itu, pengundi tidak mahu undi yang mereka berikan itu sebaliknya janji palsu yang ditunaikan BN," katanya.

Menurut beliau, terlalu banyak janji-janji pilihan raya yang belum dilaksanakan BN sepertimana berlaku di Parlimen Teluk Intan sebelum ini.

"Kita tidak mahu janji hanya tinggal janji, kita tidak mahu rakyat tertipu dengan janji-janji BN demi meraih undi rakyat.

"Kita tegaskan BN jangan jadikan rakyat Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mangsa janji palsu mereka," tambah beliau lagi.

Mohamad Badri turut berpuashati dengan kempen yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding.

"Belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi pilihan raya tersebut.

"Saya juga berpuashati dengan kempen sihat serta berhemah yang dilakukan oleh kesemua parti yang bertanding, ini yang kita mahu dalam kita mencari kemenangan prinsip demokrasi terus kita hormati," katanya lagi.

Beliau mengharapkan agar prinsip demokrasi ini terus dihormati oleh semua pihak bagi menjaminkan keharmonian kaum. – HARAKAHDAILY 24/6/2016

Share on Myspace