Pemuda buktikan profesional setia bersama PAS

MUHTAR SUHAILI | .

PADA hari ini, 24 Jun 2015 bersamaan 7 Ramadhan 1436H, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Sesi 2015-2017 telah mengumumkan Barisan Kabinet Penuhnya.

Sebelum itu, saf kepimpinan DPPM yang telah terpilih melalui Muktamar telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 8 Jun 2015 bersamaan 21 Sya’ban 1436H di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan seterusnya mengumumkan Jawatankuasa Hariannya pada 9 Jun 2015.

Sepanjang setahun bersama pelbagai kenangan dan juga memori suka duka dalam memacu perjuangan Pemuda. DPPM telah mengadakan 3 kali retreat iaitu di De Palma Ampang pada 10-11 Julai 2015, Grand Continental Kuching pada 8-9 Ogos 2015 dan Tasik Kenyir Hulu Terengganu pada 19-21 Februari 2016.

Asas utama kepada gerak kerja DPPM sesi kali ini ialah 4 Agenda Teras. Agenda ini merupakan rumusan daripada Ucapan Ketua Pemuda di dalam Muktamar DPPM Kali Ke-56 di Shah Alam dan mengambil kira juga Ucaptama Tuan Guru Presiden di dalam Muktamar PAS Pusat kali Ke-61 di Kuala Selangor pada tahun 2015. Agenda Teras ini menjadi keutamaan gerak kerja DPPM untuk sesi 2015-2017.

Berikut merupakan 4 Agenda Teras DPPM untuk sesi 2015-2017:

1. ORGANISASI: Memperjuang dasar PAS dan mempertahan kepimpinan.
2. DAKWAH DAN TARBIYAH: Memperkukuh dakwah, tarbiyah dan perkaderan.
3. SIYASAH: Mengarus perdanakan DPPM supaya dilihat sebagai pemuda 'Government in Waiting' yang efektif.
4. ORGANISASI: Memperkasa organisasi Pemuda.

Pasca Muktamar DPPM Kali Ke-57 dengan tema “Bertekad Melebar Muafakat” dan Muktamar PAS Pusat Kali Ke-62 dengan tema “Inilah Penyelesaian Kita” di Kota Bharu pada 31 Mei – 2 Jun 2016, saya amat positif betapa PAS kini terus mara menuju cita. Bahkan PAS kini semakin teguh dan jelas dalam memartabatkan perjuangan Islam melalui wadah ini.

Saya merupakan antara pimpinan yang baru menganggotai Kabinet DPPM untuk sesi kali ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Pemuda dan sahabat-sahabat Exco yang banyak membantu khususnya dalam melaksanakan portfolio saya selaku Bendahari. Tugas Bendahari ini mudah sahaja ”cari duit untuk jamaah, tak cukup duit kena keluar duit sendiri”.

Saya sesungguhnya seronok berada bersama pasukan ini. Pasukan ini adalah pasukan yang teguh bersatu, seiring sejalan dan sehati sejiwa dalam melunaskan tuntutan perjuangan. Dalam pasukan Pemuda kali ini ia adalah gabungan lulusan agama, profesional dan aktivis. Apa yang menarik bagi saya ialah pasukan ini saling lengkap-melengkapi, kelemahan ditampung dengan kelebihan dan cabaran digembleng menjadi peluang.

Antara polemik yang cuba dipersepsikan oleh mereka yang membenci PAS ialah profesional sudah lari dan tidak bersama PAS. Ini adalah satu persepsi yang tidak benar sama sekali. Daripada 39 Exco Pemuda, 4 orang memiliki PhD (termasuk 2 orang Profesor), 7 orang memiliki Master (4 orang darinya sedang menyambung PhD) dan selebihnya Ijazah. Selain itu, seramai 19 orang Exco adalah terdiri dari golongan profesional sama ada bidang kejuruteraan, perubatan, undang-undang, ekonomi, IT dan lain-lain.

Untuk makluman juga, terdapat 28 Lajnah, Jabatan dan Akademi di dalam DPPM. Ini termasuklah Lajnah Politik, Lajnah Dakwah, Akademi Tarbiyah Pemuda, Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP), Jabatan Setiausaha Pemuda, Jabatan Bendahari Pemuda, Jabatan Penerangan & Media Baru, Jabatan Pilihan Raya Pemuda, Jabatan Strategi, Lajnah Hubungan Antarabangsa, Jabatan Kesenian, Kebudayaan & Sukan (DACS), Lajnah Kebajikan & Prihatin Rakyat, Lajnah Perpaduan Nasional & Hubungan NGO, Lajnah Pembangunan Tanah & Peneroka, Lajnah Hal Ehwal Sabah & Sarawak, Jabatan AMAL Malaysia, Jabatan PASTI Malaysia, Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR), Jabatan Pembangunan Pelajar (JPP), Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM), Jabatan Pembangunan Mahasiswa Luar Negara (JPMLN), Jabatan Pembangunan Graduan (JPG), Jabatan Professional Muda (JPro), Jabatan Hal Ehwal Undang Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Jabatan Teknologi Maklumat (IT), Jabatan Pekerja, Pengguna & Alam Sekitar, Jabatan Perbendaharaan, Ekonomi & Pembangunan Usahawan dan Jabatan DHPP Muda.

Selain itu pelbagai program juga telah dilaksanakan dan diusahakan penganjurannya. Antara program utama yang diterajui oleh Pemuda ialah Himpunan Fastaqim H60K di Kota Bharu, penubuhan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), kemajuan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), penubuhan NGO GENERASI untuk memperjuangkan isu Felda dan Peneroka, program Turun Padang 100 Wacana Kemerdekaan, program Kesedaran Isu Palestin, Syria, Rohingya dan lain-lain, Pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar & Sungai Besar, MyHackathon, pelbagai program DACS termasuk ARC, ACC, APC dll, pelbagai program perkaderan di bawah JPP, JPM, JPMLN, JPG dan JPro, wacana dan engagement dengan pelbagai segmen masyarakat dan rakyat, khidmat-khidmat Jabatan AMAL Malaysia, kenyataan-kenyataan media menegak keadilan dan menentang kezaliman, program-program kebajikan dan kemasyarakatan serta rencam aktiviti-aktiviti siasah, dakwah dan tarbiyah. Alhamdulillah atas segalanya!

Prof. Dr. HAMKA di dalam bukunya ‘Lembaga Budi’ menukilkan: “Kepemudaan salah satu cabang dari kegilaan. Memang kegilaan itu ditakuti tetapi kadang-kadang kegilaan itu perlu untuk mengubah sejarah yang telah membeku.

Revolusi yang besar-besar selalu dipelopori oleh kegilaan pemuda. Tetapi setelah babak pertama dan revolusi selesai, datanglah masanya memakai fikiran dan renungan yang timbul dari kearifan.”

Gerak kerja ke hadapan DPPM ialah bagi menjayakan Wawasan Induk Negara (WIN) yang merupakan gagasan yang digerakkan oleh PAS Pusat dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sebagai elemen utamanya.

Berikut adalah ringkasan kepada cita-cita murni tersebut:

WAWASAN INDUK NEGARA (WIN)

1- Mendapat Mandat Pemerintahan
2- Penyelesaian Masalah Utama Negara
3- Pembangunan Negara Model
4- Exporting Malaysia

STRATEGI MENUJU WIN

1- Pemerkasaan Parti & Transformasi Imej
2- Menentukan Halatuju

Teras dalam pemerkasaan Parti dan Tranformasi Imej:

1- Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS)
2- Penyelesaian ISLAM
3- Pengurusan Media
4- Budaya Wacana
5- Partisipasi Rakyat
6- Pengiktirafan Masyarakat
7- Model Masyarakat

7 Ciri Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS):

1- Politik Bertunjangkan Prinsip
2- Politik Dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar
3- Politik Penyelesaian Berasaskan Islam
4- Politik Utamakan Kepentingan Rakyat
5- Politik Damai dan Diplomasi
6- Politik Kebenaran Bukan Persepsi
7- Politik Rasional dan Profesional

Doakan semoga kami semua mampu untuk terus menjalankan amanah dan taklifan yang diberikan. Kami komited dalam memastikan usaha pengukuhan dan kekuatan jamaah PAS sebagai wadah tarbiyah, dakwah dan siyasah akan terus diperkasakan.

Sokongan dan dokongan semua sahabat-sahabat khususnya seluruh Pemuda di pelbagai peringkat amatlah kami perlukan dalam malaksanakan tanggungjawab.

DPPM menyeru sokongan seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia terutama anak muda untuk bersama kami memacu ke arah Malaysia yang lebih baik. Semoga usaha kita untuk memartabatkan Islam melalui perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendapat keredhaan daripada ALLAH SWT. – HARAKAHDAILY 24/6/2016

Share on Myspace