Bekas lawan Mukhriz simpati beliau dipecat

HARAKAHDAILY | .

PAS Kawasan Jerlun menzahirkan rasa dukacita di atas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno kelmarin. PAS Kawasan Jerlun tidak berhasrat untuk mencampuri hal dalaman Umno dan menganggap pemecatan kedua-duanya merupakan masalah dalaman parti mereka.

Namun begitu, PAS Kawasan Jerlun cukup sedih di atas tindakan yang dikenakan hanyalah disebabkan oleh kelantangan kedua-duanya membangkitkan isu 1MDB, Derma 2.6 Billion, GST dan sebagainya akibat salahguna kuasa secara jelas oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Kesemua isu tersebut adalah berkait secara langsung dengan kehidupan rakyat yang semakin tertekan dengan kos hidup yang semakin meningkat dan kadar inflasi semakin bertambah akibat kejatuhan nilai ringgit.

Dalam masa yang sama, PAS Kawasan Jerlun mengucapkan syabas dan tahniah di atas keberanian kedua-duanya menyuarakan isu-isu kepentingan rakyat dan negara agar menjadi teladan kepada para pemimpin Umno yang lain supaya prihatin terhadap permasalahan rakyat melebihi daripada kepentingan peribadi.
 
Selaku Adun Ayer Hitam, PAS Kawasan Jerlun  mengucapkan takziah dan bersimpati di atas pemecatan Datuk Seri Mukhriz serta berharap beliau bersabar, berlapang dada dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan suasana harmoni warga Ayer Hitam khususnya dan rakyat  amnya.

Kami berharap beliau akan terus menunaikan tanggungjawab sebagai Adun Ayer Hitam sehingga tamat penggal demi kepentingan rakyat dalam kawasan ini.

Kami yakin beliau sedar dan faham kesan buruk bakal menimpanya jika berterusan menongkah arus dengan kepimpinan Perdana Menteri dan ia menjadi sebahagian daripada asam garam politik sebagaimana  sejarah yang telah dilalui oleh ayahandanya Tun Dr Mahathir yang pernah dipecat daripada Umno pada tahun 1969 lalu.

ABD GHANI AHMAD
Yang DiPertua
PAS Kawasan Jerlun – HARAKAHDAILY 25/6/2016

Share on Myspace