Umno bergolak, jangan heret rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan Umno BN agar tidak mengheret rakyat di dalam percaturan dan pergolakan yang berlaku di dalam parti mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pergolakan dalaman Umno BN sehingga menyaksikan pemecatan pimpinan tertinggi mereka perlu diuruskan di peringkat parti mereka.

"Saya tekankan supaya jangan sampai ianya membebankan dan merosakkan pentadbiran kerajaan dan kebajikan rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Program Sumbangan Kasih Ramadan  bersama  Murobitun, OKU dan anak yatim di Pejabat Agung PAS, semalam.

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan AJK PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa.

Tambah Nasrudin, soal pergolakan parti Umno BN biarlah diuruskan oleh mereka kerana itu adalah hak parti mereka.

"Jadi kalau kita campur tangan nampak tidak wajar sebagaimana kita tidak mahu orang lain campur tangan dalam rumah tangga kita," katanya.

Sebelum itu, Nasrudin turut merasmikan program Sumbangan Kasih Ramadan yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Pergolakan dalaman Umno BN telah menyaksikan pemecatan dua pimpinan tertinggi parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ekoran mereka dilihat terlalu terbuka mengkritik kepimpinan mereka termasuk isu 1MDB. - HARAKAHDAILY 26/6/2016

Share on Myspace