Kerajaan mesti telus dalam penetapan tarif elektrik

PIARAPAKARAN S | .

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin menegaskan kepentingan ketelusan dalam penetapan tarif elektrik dan kos bahan api. Gas asli berpaip ditetapkan pada harga RM15.20 bagi setiap mmBTU bagi tempoh penetapan tarif elektrik daripada 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2017. Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menaikkan harga gas asli berpaip bagi penjanaan elektrik sebanyak RM3.00 setiap mmBTU untuk mencapai RM18.20 bagi setiap mmBTU berkuatkuasa 1 Jan 2016. Ini telah menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM560 juta kepada tarif elektrik bagi tempoh 6 bulan (Januari 2016 - Jun 2016).

Kini, sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk menyemak semula komponen kos bahan api bagi tarif elektrik. Akan tetapi, apakah kos bahan api yang baru bagi tempoh Julai 2016 - Disember 2016? Adakah penetapan tarif akan lebih telus?

1. RAKYAT MALAYSIA INGINKAN KETELUSAN DALAM TARIF ELEKTRIK DAN HARGA BAHAN API

Kegagalan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Tenaga untuk menunjukkan pecahan kos terperinci bagi gas asli berpaip dan Gas Asli Cecair (LNG) adalah diketahui oleh pemain-pemain industri. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga telah menanda aras harga gas asli berpaip kepada harga LNG. Walau bagaimanapun, ini adalah langkah yang silap kerana gas asli berpaip tidak mempunyai kos-kos tambahan (contohnya, kos menukarkan gas asli kepada cecair, kos pengangkutan dari pelabuhan ke pelabuhan dan kos penukaran daripada cecair kepada gas) seperti LNG. AWER telah berulangkali menegaskan perkara ini kepada KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga. Malangnya, KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga masih menggunakan mekanisme yang salah ini. Berdasarkan Kajian Jaminan Tenaga Kebangsaan (NESS) yang dijalankan oleh AWER, 69.94% rakyat Malaysia ingin mengetahui bagaimana tarif elektrik dan harga bahan api ditentukan dan majoriti 73.87% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan TIDAK telus dalam menentukan tarif elektrik dan harga bahan api. Maka, ia adalah terbukti bahawa rakyat Malaysia ingin mengetahui maklumat lanjut dan ketelusan mengenai bagaimana harga ditetapkan untuk tenaga elektrik dan kos bahan api.

2. ADAKAH MASIH TERDAPAT REBAT UNTUK TARIF ELEKTRIK DI ANTARA JULAI DAN DISEMBER 2016?

Harga gas asli berpaip ditetapkan pada RM15.20 setiap mmBTU, harga LNG ditetapkan pada  RM41.68 setiap mmBTU dan harag arang batu ditetapkan pada USD87.50 setiap Tan Metrik bagi tempoh penetapan tarif daripada 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2017.

Di bawah mekanisme Penyaluran Kos Tidak Seimbang (Imbalanced Cost Pass Through-ICPT) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga, selepas setiap 6 bulan (Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember) kos tambahan ataupun penjimatan dari kos bahan api akan disalurkan semula kepada tarif elektrik. Jika terdapat penjimatan, ia akan disalurkan kepada tarif elektrik sebagai rebat (rebate) dan jika terdapat kos tambahan, ia akan disalurkan kepada tarif elektrik sebagai caj tambahan (surcharge). Sehingga kini, disebabkan harga rujukan gas asli dan arang batu (yang telah ditetapkan pada 1 Januari 2014) adalah lebih tinggi daripada harga pasaran terkini, rebat telah diberikan. Akan tetapi, keadaan ini mungkin tidak akan berterusan!

Bagi setiap kenaikan harga gas asli berpaip sebanyak RM1.50 setiap mmBTU, kos bahan api tambahan bagi setiap 6 bulan adalah sekitar RM280 juta. Jika kerajaan menaikkan lagi harga gas asli berpaip di antara Julai dan Disember 2016 sebanyak RM1.50 setiap mmBTU, gas asli berpaip akan mencapai pada harga RM19.70 setiap mmBTU. Ini akan menggunakan hampir RM840 juta daripada penjimatan kos bahan api jika kita merujuk kepada harga rujukan gas asli berpaip untuk penetapan tarif iaitu RM15.20 setiap mmBTU. Rebat yang tidak dapat disalurkan akibat daripada kenaikan harga gas asli berpaip sebanyak RM4.50 setiap mmBTU (berbanding kepada harga rujukan RM15.20 setiap mmBTU) di antara Julai dan Disember 2016 adalah 1.68 sen/kWj.

Walaupun kerajaan meningkatkan harga gas asli berpaip, memang wujud kemungkinan rebat semasa (1.52 sen/kWj) dapat dikekalkan. Akan tetapi, langkah ini akan menggunakan penjimatan yang sedia ada. Jika kerajaan tidak ingin menggunakan penjimatan ini, nilai rebat akan berkurang lagi.

Maka, AWER menyeru KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga untuk menerbitkan semua penjimatan yang telah dikumpul daripada Januari hingga Jun 2016. Apa-apa unjuran kos ke hadapan (forward costing), sebagai contoh, kos tambahan bahan api yang akan berlaku akibat daripada peningkatan harga gas asli berpaip mesti dikira secara berasingan dan bukannya terus ditolak daripada penjimatan kos bahan api yang sedia ada. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga juga mesti menerbitkan penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Kos-kos ini adalah kos yang telah dibayar oleh pengguna melalui tarif. KeTTHA dan Suruhanjaya Tenaga mesti menerbitkan maklumat-maklumat ini sepenuhnya untuk pengetahuan umum. - HARAKAHDAILY 26/6/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Share on Myspace