Kes demam campak meningkat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sehingga minggu pertama Jun 2016, sebanyak 66 wabak measles (demam campak) dilaporkan, meningkat antara 4 hingga 5 kali ganda berbanding tempoh yang sama 2015.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada 2014, hanya 11 wabak measles dilaporkan dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan menerusi laman facebook, hari ini sebagaimana di bawah.

Sehingga minggu pertama Jun 2016 (minggu epid 23), sebanyak 66 wabak measles dilaporkan, meningkat antara 4 hingga 5 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Pada tahun 2014, hanya 11 wabak measles dilaporkan dan meningkat kepada 57 wabak pada tahun 2015. Pada tahun 2016, majoriti wabak melibatkan rumah persendirian (42 episod; 63.6%), diikuti oleh institusi (19 episod; 28.8%) dan komuniti (5 episod; 7.6%). Bilangan kes juga meningkat sebanyak 340% (873 kes) berbanding tempoh yang sama pada 2015 (197 kes). Sepanjang tahun 2015, terdapat sebanyak 1,318 kes dengan 2 kematian, manakala belum ada kematian pada 2016.

Pada tahun 2016, bilangan wabak chickenpox adalah 10 episod berbanding 12 episod dalam tempoh yang sama pada 2015 dan 9 wabak pada tahun 2014. Majoriti episod pada tahun 2016 melibatkan institusi (9 episod; 90%) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan. Bilangan kes 2016 juga menurun sebanyak 34.7% (109 kes) berbanding 2015 (167 kes) dan 2014 (125 kes). Tiada kematian akibat chicken pox pernah dilaporkan dalam tempoh 3 tahun.

Pesakit yang kurang daya melawan tubuh boleh mengalami komplikasi yang lebih serius seperti jangkitan telinga tengah (otitis media 5-15%), diarea, jangkitan peparu (bronkitis dan pneumonia 5-10%) dan jangkitan pada otak (subacute sclerosing panencephalitis 1/10,000-1/100,000 kes), di mana ia boleh menyebabkan kecacatan kekal dan kematian. Komplikasi akibat penyakit chicken pox hampir serupa dengan measles, tetapi jarang berlaku.
 
Demam campak (measles) dan cacar air (chicken pox)

Demam campak (measles) dan cacar air (chicken pox) merupakan penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit. Virus penyakit ini berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit. Lepuh pada kes Chickenpox mengandungi virus yang juga boleh menjangkiti orang lain yang tercemar dengannya. Pesakit dengan jangkitan kedua-dua jenis virus ini lazimnya akan pulih sendiri, Walau bagaimanapun risiko komplikasi akan meningkat sekiranya kanak-kanak tidak menerima imunisasi. Keadaan akan diterukkan lagi sekiranya kanak-kanak berumur kurang 5 tahun, kurang zat makanan atau mempunyai masalah kurang daya tahan seperti HIV dan kanser.

Cacar Air (Chicken Pox)

Pesakit yang mempunyai daya tahan tubuh yang baik melalui pembentukan antibodi daripada imunisasi hanya akan mengalami gejala ringan seperti demam, ruam, batuk, selsema, konjunktivitis (mata merah). Masa pengeraman (tempoh antara kemasukan virus dan gejala pertama) adalah 7 hingga 10 hari. Ruam akan terbentuk selepas 3 hingga 4 hari.

Imunisasi measles adalah diberikan pada umur 9 dan 12 bulan seorang kanak-kanak. Manakala imunisasi chicken pox tidak termasuk di dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Walau bagaimanapun suntikan boleh diperolehi dari hospital dan klinik swasta pada kadar bayaran tertentu.
 
Punca Peningkatan Kes Measles

Punca utama peningkatan kes measles adalah kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi. Anggaran 61% di kalangan kes pada tahun 2015 tidak mendapat imunisasi (28%) atau belum layak disuntik (33%). Namun begitu, belum ada kematian dilaporkan. Antara sebabnya ialah ibubapa terlupa atau terlalu sibuk untuk membawa anak mendapatkan imunisasi, salah tanggapan terhadap keterukan penyakit measles, menolak vaksin dan mengamalkan perubatan homeopati dan / atau naturopati.

Kanak-kanak ini pula tinggal di kawasan yang mempunyai liputan imunisasi yang kurang daripada 95%. Imuniti kelompok yang rendah akibat dari jumlah kanak-kanak tidak dilindungi oleh imunisasi measles yang tinggi, menyebabkan virus measles mudah menular di dalam komuniti tersebut dan mengakibatkan wabak. Situasi menjadi lebih buruk apabila pesakit tinggal di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi, kurang zat makanan, mengalami penyakit kronik (HIV, kanser dll) dan penjaga kurang faham kaedah mencegah dan mengawal penularan penyakit measles ini. Selain daripada itu, faktor kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan akibat masalah logistik dan isu keselamatan di sesetengah kawasan di Sabah turut menyumbang kepada masalah ini.

Globalisasi dan pergerakan penduduk dunia juga turut memberi risiko perebakan penyakit cegahan vaksin kepada rakyat negara ini. Lazimnya hanya virus measles genotype D9 berada di persekitaran Malaysia. Pada tahun 2011, genotype baru virus measles iaitu D8 yang telah di bawa masuk oleh warga asing yang datang ke Malaysia. Genotype ini kekal merebak di Malaysia sehingga tahun 2015 kesan dari liputan imunisasi yang rendah (imuniti kelompok menjadi lemah). Pada tahun 2014 pula, dua genotype baru telah dibawa masuk ke Malaysia iaitu H1 dan B3. Hanya B3 yang kekal sehingga tahun 2015.

Jumlah dan peratusan mereka yang tidak divaksin pada tahun 2015 adalah rendah berbanding dengan data tahun 2007. Sebagai contoh, liputan vaksin tiga serangkai dos 3 pada tahun 2007 adalah 93.6% berbanding 99.3% pada tahun 2015. Manakala bagi imunisasi measles dos pertama pada tahun 2007 adalah 84.1% berbanding 93% pada tahun 2015. Walaupun liputan imunisasi measles dos pertama meningkat tetapi ia masih kurang dari 95%. Kesannya imuniti kelompok (herd immunity) tidak mencapai tahap optima yang dikehendaki. Aras imuniti kelompok bagi measles ditetapkan pada nilai yang tinggi kerana penyakit ini adalah sangat mudah berjangkit.

Data epidemiologi menunjukkan bahawa satu (1) kes measles boleh menjangkit 12 ke 18 orang lain, berbanding rubella (hanya 5 ke 7 orang), Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) (hanya 2 ke 5 orang) atau influenza (hanya 2 ke 3 orang sahaja) (berdasarkan pandemik influenza 1918). Ia dipanggil kadar infektiviti penyakit.
 
Kaitan dengan Gerakan Anti-Vaksin

Gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sesuatu kawasan. Liputan imunisasi boleh menurun sehingga kurang daripada 95%. Kemungkinan ia boleh berlaku sekiranya kumpulan yang menolak vaksin membuat propaganda dan berjaya mempengaruhi ibubapa yang belum membuat sebarang keputusan mengenai imunisasi, khususnya bakal-bakal ibu dan bapa baru.

Data dari Klinik Kesihatan menunjukkan bilangan kes-kes yang menolak vaksin di kalangan ibubapa meningkat dari 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014. Walau bagaimanapun, data ini hanyalah sebahagian daripada data yang berjaya dikumpul dari klinik kesihatan sahaja dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam negara kita. Ada kemungkinan jumlahnya adalah lebih tinggi.

Terdapat banyak sebab dan alasan ibubapa atau penjaga menolak vaksin, seperti:

Pengaruh masyarakat sekeliling (keluarga, rakan)

Pengaruh laman-laman sesawang yang salah dan tidak beretika

Kurang kefahaman tentang kepentingan imunisasi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan kanak-kanak

Ibubapa / penjaga tidak mengetahui bahaya dan komplikasi penyakit-penyakit cegahan vaksin

Sesetengah penyakit cegahan vaksin semakin jarang ditemui pada masa ini

Curiga dengan kandungan vaksin termasuk bahan penstabil dan pengawet

Mengamalkan perubatan homeopati dan rawatan tradisional serta mempercayai bahawa kedua-dua kaedah perubatan tersebut tidak boleh bercampur dengan perubatan alopati (moden)

Meragui status halal vaksin

Bimbang dengan kesan advers atau kesan sampingan vaksin

Isu-isu tersebut telah diberi diperjelaskan menggunakan bukti-bukti sahih oleh pihak-pihak yang berkenaan melalui pelbagai medium. Ini termasuklah dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Fatwa Kebangsaan, Pertubuhan Homeopati Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia, pertubuhan/persatuan profesional dan lain-lain. Namun begitu, masih ada segelintir masyarakat menolak vaksin hanya bersandarkan fakta-fakta yang tidak sahih yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak. Justeru, semua pihak termasuk akhbar dan media perlu memainkan peranan dengan memberi maklumat dari sumber yang sahih kepada orang awam.

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia

Perkara terpenting dalam kaedah pencegahan penyakit measles adalah imunisasi. Pihak KKM akan terus menjalankan kempen penggalakan imunisasi di seluruh negara untuk semua jenis penyakit cegahan vaksin. Satu dos imunisasi measles akan memberikan kesan imuniti seumur hidup. Namun begitu, kadar seroconversion (pembentukan antibodi) hanya sekitar 85% hingga 95%. Dos kedua measles mampu memberikan kadar seroconversion hingga 99%. Jadual suntikan bagi vaksin measles dos pertama telah diberikan pada usia kanak-kanak 9 bulan dan dos kedua pada usia 12 bulan bermula pada tahun 2016 bagi memastikan kanak-kanak berusia kurang satu tahun diberi perlindungan. Ia juga bagi mengurangkan jarak tempoh umur mendapat dos kedua di mana jadual sebelum ini, iaitu dos pertama pada usia 12 bulan dan dos kedua pada usia 7 tahun.

Di kawasan wabak, pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan suntikan measles terhadap kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah. Bagi sesetengah kawasan yang lebih tinggi risiko, had umur bagi suntikan tambahan/sokongan ini dinaikkan kepada 15 tahun. Ini bagi memastikan imuniti kelompok tercapai dan rantaian jangkitan akan cepat diputuskan. Bagi kanak-kanak yang tercicir dalam mendapatkan suntikan imunisasi pula, ibubapa dan penjaga diseru untuk mendapatkan suntikan imunisasi di Klinik-klinik kesihatan berdekatan.

Selain itu, peranan ibubapa/penjaga dan masyarakat juga sangat penting dalam mengekang penularan penyakit ini. Measles dan chickenpox adalah dua penyakit yang sangat mudah merebak. Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tersebut perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat-pusat asuhan, TASKA, tadika atau sekolah. Elakkan membawa kanak-kanak yang sakit menghadiri perhimpunan atau perjumpaan terutama yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan seperti bayi, pesakit kanser, penghidap HIV/AIDS dan pesakit yang sedang menjalani kemoterapi.

Meningkatkan Kesedaran Masyarakat tentang Kepentingan Imunisasi

Antara strategi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menangani isu ini adalah dengan menjalankan promosi/pendidikan kesihatan yang berterusan kepada komuniti melalui pelbagai kaedah di pelbagai peringkat, antaranya:

Kempen Sambutan Minggu Imunisasi setiap tahun (minggu terakhir bulan April)

Menyediakan bahan media seperti risalah, poster, video dan lain-lain berkaitan imunisasi

Menyediakan Immunisation Kit bagi membantu anggota Kesihatan memberi penerangan berkaitan imunisasi dan vaksin kepada masyarakat

Menyediakan Frequently Asked Question (FAQ) untuk orang awam dan anggota Kesihatan

Menyediakan laman sesawang Immunised for Life (IFL) bagi mempromosikan imunisasi

Menyediakan aplikasi pintar VaccineBaby bagi memberi kemudahan ibubapa/penjaga memantau dan menerima mesej peringatan berkaitan imunisasi anak-anak

Ceramah, forum, sesi dialog, kumpulan kecil dan lain-lain. Aktiviti tersebut dijalankan secara rutin semasa sesi klinik, kem-kem kesihatan dan program khas bagi kelompok komuniti dipilih.

Mengadakan siri jelajah fatwa bersama JAKIM ke seluruh negara dan khutbah jumaat secara berkala.

Mengenalpasti individu atau kumpulan tertentu yang menolak vaksin.

Menyediakan pangkalan data dan seterusnya menjalankan tindakan lanjut.

KKM juga sentiasa berkerjasama lain-lain kementerian, jabatan, agensi dan pertubuhan profesional bagi menangani isu anti-vaksin.

Bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha TASKA bagi mengenalpasti status imunisasi kanak-kanak yang berdaftar di TASKA.

Bekerjasama dengan Persatuan Homeopati Nasional bagi membetulkan salah tanggapan terhadap kewujudan vaksin homeopati.

Bekerjasama dengan JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memperjelaskan isu halal-haram vaksin dan lain-lain isu berkaitan agama.

Satu bengkel bagi menangani isu gerakan anti vaksin telah diadakan pada September 2015 yang dihadiri oleh beberapa kementerian dan agensi.

Persetujuan telah dicapai bagi menjalankan kempen secara besar-besaran dan menyeluruh dengan peruntukan yang lebih tinggi pada tahun 2016, terutamanya bagi menyantuni kelompok antivaksin. Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan kesemua perkhidmatan tersebut dengan percuma di fasiliti Kesihatan kerajaan. Ibubapa dan penjaga seharusnya perlu mengambil peluang ini untuk memberi anak-anak mereka imunisasi.

Share on Myspace