Food Stamp: Selangor peka situasi ekonomi rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Program Smart Selangor Food Stamp 2016 yang kian diperluaskan ke semua peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) menjadi bukti kerajaan negeri peka dengan situasi ekonomi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata meskipun masih ada segelintir keluarga berdepan kesusahan namun diharapkan dengan sumbangan berbentuk barangan keperluan makanan dapat meringankan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita perkenalkan Smart Selangor Food Stamp untuk membantu masyarakat. Kerajaan negeri mendengar segala pandangan dan cadangan yang rakyat kemukakan.

“Walaupun hanya 100 keluarga menerima bantuan untuk setiap Dun, saya harap jangan ada pihak berkecil hati jika tidak menerima bantuan kerana keutamaan kita adalah keluarga yang susah supaya dapat merasai bantuan ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan #SmartSelangor Food Stamp 2016 Dun Taman Templer di Dewan JKKK Kampung Selayang Indah.

Hampir 100 keluarga menerima sumbangan yang disampaikan sendiri Zaidy.

Selangor Food Stamp adalah Program Bantuan Makanan Asas yang dilaksanakan dengan peruntukkan RM3 juta bertujuan membantu rakyat termiskin di seluruh Selangor.

Share on Myspace