DUPNS harap program TV penuhi inspirasi Syawal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyeru semua masyarakat untuk menjadikan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang agar mematuhi syariat Islam.

Ketuanya, Ustaz Rizuan Rahmat berkata adat dan kebiasaan yang bercanggah dengan hukum Islam harap dapat ditinggalkan seperti bersalam dan bersentuhan dengan bukan mahram, hiburan yang melampau, tidak menutup aurat dan sebagainya.

DUPNS juga, ujarnya mengajak stesen TV yang menyediakan program sambutan Aidilfitri agar dapat menyajikan program hiburan yang memenuhi inspirasi Syawal sebagai bulan menyambut kejayaan ibadah Ramadan.

Tambahnya, kepada stesen TV yang telah menyediakan program yang sesuai dengan Islam, terlebih dahulu DUPNS mengucapkan tahniah.

"Sesungguhnya, peranan stesen TV sangat besar untuk membimbing masyarakat ke arah penghayatan Syawal yang lebih bermakna," ujarnya menerusi laman facebook DUPNS.

Di samping itu, kata beliau jangan lupa untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik agar kemeriahan Syawal dapat disambut bersama.

"Dalam membuat persiapan untuk berhadapan dengan Syawal, marilah sama-sama kita memastikan semua persiapan itu mengikut acuan Islam.

"Semoga Syawal yang menjelma nanti akan memberikan erti Ramadan yang sebenar kepada kita umat Islam," ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/6/2016

Share on Myspace