Perayaan: Yayasan Amal bantu tabung darah

BULETIN ONLINE | .

KUALA NERUS: Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu memerlukan bekalan sebanyak 1,000 pain darah sepanjang musim perayaan Idulfitri ini bagi seluruh negeri.

Sehubungan itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) tampil bagi membantu pihak hospital berkenaan bagi mempastikan bekalan darah itu mencukupinya.

YAMCT menerusi agenda aktiviti tahunannya pada bulan Ramadan ini menganjurkan kempen derma darah di seluruh negeri Terengganu.

Sebanyak 20 buah masjid terpilih di beberapa buah daerah di negeri ini mengambil bahagian dalam kempen tersebut yang diadakan selepas solat tarawih.

Pengerusinya, Dr Suhazeli Abdullah berkata YAMCT mensasarkan sejumlah 750 pain sepanjang kempen derma darah bulan Ramadan ini.

Katanya, sebanyak 20 buah masjid terpilih terlibat dengan kempen ini bagi menampung keperluan bekalan darah hospital.

“Target kita hendak kumpul lebih 750 pint darah melalui kempen ini di masjid-masjid terpilih seluruh negeri Terengganu.

“Ini, program tahunan Yayasan Amal Terengganu dengan kerjasama pihak hospital (HSNZ) Terengganu dan beberapa buah hospital daerah.

“Tabung darah hospital memerlukan sebanyak 250 pain darah seminggu atau 1,000 pain sebulan sepanjang musim perayaan ini,” ujarnya.

Menurutnya, kempen derma darah anjuran YAMCT itu mendapat kerjasama dengan pihak HSNZ Kuala Terengganu dan hospital-hospital daerah di negeri ini.

Kata Dr Suhazeli, sambutan terhadap kempen tersebut sangat baik dan YAMCT mengharapkan sasaran 750 pain darah itu berjaya diperolehinya.

Antara masjid yang mengambil bahagian kempen derma darah anjuran YAMCT iaitu Masjid Batu Burok, Masjid Chendering, Masjid Sultan Ismail Chendering, Masjid Gelong Bilal di Kuala Terengganu.

Masjid Titian Baru (Bukit Payung), Masjid Instep, Masjid Unisza, Masjid Kubang Ikan, Masjid Batu Enam, Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Kampung Batin (Kuala Nerus), Masjid Butut (Hulu Terengganu), Masjid Sura Lama (Dungun), Masjid Jamek Kertih, Masjid Tengku Mizan (Kemaman), Masjid Pengadang Baru, Masjid Rhu Muda, Masjid Rusila (Marang), Masjid Kampung Padang Landak (Besut).

Share on Myspace