Mukhriz diingat agar lebih profesional

HARAKAHDAILY | .

SANGKAAN Adun Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesyaki wujud perjanjian antara Umno PAS untuk membahagi negeri pemerintahan adalah tuduhan sangat dangkal dan ternyata berunsur fitnah.

Selaku ahli politik, dakwaan itu hanyalah cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya dari seorang yang pernah menjawat kedudukan Menteri Besar.

Hakikatnya mereka yang menjatuhkan Datuk dari kerusi Menteri Besar adalah kumpulan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana mendakwa kelemahan pemerintahan Datuk akan memberi peluang PAS mengambil kembali Kedah. Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Datuk atas sebab itu tiba-tiba hendak melepaskan Kedah kepada PAS?

PAS Negeri Kedah sama sekali tidak pernah menghulur salam mahupun menyambut sebarang usaha atau mengadakan perjanjian sebagaimana dimaksudkan hingga seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang.

Ketika ini, PAS mengemukakan pendekatan politik matang dan sejahtera (BPMS) dgn mengamalkan politik berteraskan demokrasi mandat daripada rakyat.

PAS tidak menjadikan jalan singkat, pemerdayaan dan tipu muslihat untuk merampas kedudukan. PAS juga tidak dayus untuk membiarkan Umno terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan.

Sebaliknya PAS mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya di mana PAS komited menentang Umno/BN dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara. Iaitulah menandingi kerusi pilihan raya di mana sahaja Umno bertanding hingga dapat menurunkan Umno BN dari tampuk pemerintahan negeri serta Putrajaya.

PAS berpendirian bahawa Umno adalah liabiliti yang membebankan untuk dipikul serta wajib ditolak. Dosa Umno terlalu berat untuk ditanggung dan Malaysia mesti segera diselamatkan.

Sehubungan itu Datuk dinasihat agar lebih profesional dan menjadi diri Datuk yang sebenar-benar serta menumpukan tanggung jawab selaku Adun. Datuk tidak perlu lagi menjadi boneka atau Nujum Pak Belalang.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 27/6/2016

Share on Myspace