PRK: PAS tubuh Jawatankuasa Post Mortem

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: PAS Pusat tubuh Jawatankuasa Post Mortem bagi mengkaji keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lepas.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Abdullah akan menyiapkan laporan sehingga akhir Ogos depan.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca-punca kekalahan PAS di kedua-dua kawasan PRK terbabit.

“Berdasar kepada pemerhatian awal PAS tidak kurang sokongan walaupun gagal memenangi PRK berkenaan.

“Ini kerana undi teras PAS masih kekal. Sebaliknya penyokong PKR dan DAP berpaling arah di mana ada yang menyokong calon BN atau PAN,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 50 penarik beca di sini.

Beliau juga berkata post mortem itu juga akan menilai pengendalian perjalanan pilihan raya secara terperinci.

Pada PRK tersebut PAS gagal mencabar kekuatan Umno yang mempertahankan kerusi tersebut sejak sekian lama.

Di Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi mengatasi calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan PAN Dr Ahmad Tarmizi Ramli.

Di Sungai Besar pula Budiman Mohd Zohdi mendapat majoriti 9,191 undi. PAS diwakili Dr Rani Osman, PAN pula Azhar Abdul Shukur.

Takiyuddin juga menyambut baik tindakan PAS Kelantan tidak mahu memberi laluan kepada PAN untuk bertanding di beberapa kerusi pilihannya.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan PAS Pusat untuk menentukannya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/6/2016

Share on Myspace