PRK Parlimen Bachok kerana kematian Prof Zulkifli

HARAKAHDAILY | .

PILIHAN RAYA KECIL PARLIMEN BACHOK KERANA KEMATIAN PROF ZULKIFLI (27 JUN 1964)

PADA hari ini dalam tahun 1964, telah belangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok ekoran kematian ahli parlimennya, Prof Zulkifli Mohamad pada 6 Mei 1964. Prof Zulkifli yang juga Timbalan Yang Dipertua Agung PAS telah memenangi semula kerusi Bachok dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, kemudiannya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Gambang, Kuantan pada 5 Mei 1964 sebelum sempat mengangkat sumpah. Ekoran kematian ini, satu pilihan raya kecil diadakan pada 27 Jun 1964.

Prof Zulkifli yang merupakan pemimpin nombor dua PAS sejak akhir 1956 telah memenangi kerusi Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum 1959, dan mempertahankannya pada 1964. Beliau yang merupakan lepasan Universiti al-Azhar dianggap antara ahli parlimen terbaik di Malaysia ketika itu. Walaupun berasal dari Kuala Kangsar, Perak, PAS telah mencalonkan beliau di Bachok supaya beliau dapat berperanan di Dewan Rakyat. Kematian beliau pada 6 Mei 1964 dianggap satu kehilangan besar kepada penduduk Bachok.

Bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, PAS telah menamakan Guru Besar Sekolah Menengah Izzuddin, Ipoh, Ustaz Abu Bakar Hamzah sebagai calonnya. Ustaz Abu Bakar Hamzah yang dilahirkan di Perlis pada 1925 adalah lepasan Madrasah Alawiyah, Arau dan Madrasah al-Huda, Pulau Pinang sebelum mengasaskan Perintis Akademi Islam di Pulau Pinang pada 1950. Beliau pernah menjadi pegawai polis (1946-1950) dan pegawai zakat Perlis, sebelum mengajar di Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Masjid Tinggi.

Dalam politik, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno Perlis telah menyertai PAS pada 1955. Sebelum itu, beliau juga adalah Yang Dipertua Parti Nahdatul Ulamak yang ditubuhkan di Perak pada 1954. Setelah menyertai PAS, beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962), Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Pusat (1960-1962) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1962-1964). Pada 1958, beliau mewakili PAS ke Persidangan Pemuda Afro-Asia di Kaherah dan mengambil kesempatan mengunjungi pimpinan Ikhwanul Muslimun di sana. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mewujudkan hubungan rasmi PAS-Ikhwanul Muslimun, termasuk menjadikan karya Hassan al-Banna sebagai teks tarbiyah PAS mulai 1963.

Dengan latar belakang beliau yang baik, termasuk boleh berbahasa Arab dan Inggeris dengan lancar, selain menguasai bahasa Cina dan Jepun, PAS telah melihat beliau setanding dengan keintelektualan Prof Zulkifli. Ustaz Abu Bakar Hamzah juga pernah belajar di Kolej Islam Malaya di bawah bimbingan Prof Zulkifli pada awal 1950-an. Dengan pencalonan Ustaz Abu Bakar Hamzah ini, pengundi di Bachok berpeluang memilih seorang wakil rakyat yang berkemampuan melanjutkan legasi Timbalan Presiden PAS itu.

Dalam pilihanraya kecil yang diadakan pada 27 Jun 1964 ini, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah berjaya memperolehi 11,900 undi mengalahkan calon Perikatan, Abdul Ghani Sulaiman yang mendapat 8,661 undi dengan majoriti 3,239 undi. Dengan kemenangan Ustaz Abu Bakar Hamzah ini, PAS telah mengekalkan kerusi Parlimen Bachok sehingga 1969 dan berjaya membawa isu-isu penting ke Dewan Rakyat

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 27/6/2016

Share on Myspace